Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan kurang warga S’pura ke Johor gara-gara VEP...

Jul 26, 2025 | 5:30 AM
VEP, pemandu S’pura, M’sia, Johor
Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Pelaksanaan penuh Permit Masuk Kenderaan Asing (VEP) bermula 1 Julai lalu mula menampakkan kesan terhadap peniaga tempatan, khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan warga Singapura, apabila jualan harian dianggarkan menurun sehingga 30 peratus dalam tempoh tiga minggu pertama.

Tinjauan Berita Harian (BH) di beberapa lokasi perniagaan utama di bandar raya ini seperti Pasar Awam Larkin dan pusat beli-belah Angsana mendapati ramai peniaga mengeluh akibat kekurangan pelanggan Singapura yang lazimnya menjadi penyumbang utama pendapatan mereka.

Beberapa warga Singapura yang merupakan pengunjung tetap Johor turut memaklumkan kepada BH bahawa mereka kini tidak lagi menyeberangi Tambak, atau mengurangkan kekerapan lawatan, kerana terpaksa bergantung kepada kenderaan sewa atau awam susulan kesukaran mendapatkan kelulusan VEP.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Awam Larkin, Encik Sadam Salim, berkata peniaga kini terpaksa berdepan situasi sukar apabila pelanggan tetap dari Singapura yang biasanya datang membeli barangan basah dan makanan secara mingguan tidak lagi kelihatan.

“Pelanggan dari Singapura ada kuasa beli tinggi. Mereka sering datang berkeluarga atau berkumpulan, dan membuat pembelian dalam jumlah besar. Jadi apabila mereka tidak datang, sudah tentu kami rasa kesannya,” ujarnya.

Encik Sadam turut menggesa agar pihak berkuasa Malaysia mencari pendekatan lebih cekap dan menyeluruh dalam pelaksanaan sistem VEP agar peniaga tempatan tidak terus menjadi mangsa kepada dasar yang dilihat kurang mesra pelawat.

Bersependapat, Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Angsana, Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah, menyatakan pusat beli-belah Angsana turut mengalami penurunan bilangan pengunjung Singapura, khususnya mereka yang datang membeli pakaian dan barangan keperluan pada harga lebih murah.

“Pelanggan dari Singapura datang ke Angsana memang cari baju sebab murah. Tapi sekarang kalau mereka perlu hadapi risiko disaman atau susah daftar VEP, lebih baik beli di tempat sendiri,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai makanan haiwan Jungle Jewel Pet Safari di Woodlands, Encik Muhammad Aidhill Haqeem Darus, 36 tahun, mengakui beliau kini lebih gemar menyewa kenderaan untuk ke Johor berbanding membawa kereta sendiri kerana tidak mahu berdepan kerenah pendaftaran VEP.

“Saya memang perlu ke Johor Bahru setiap minggu kerana ada keluarga dan rakan di sana. Tapi sejak pelaksanaan VEP, saya rasa lebih mudah sewa kenderaan sahaja. Bayar $100 untuk perjalanan lengkap tanpa fikir minyak, tol atau tempat letak kereta,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa kerana merasakan kerajaan Malaysia tidak menggunakan peluang untuk berbincang atau mencontohi sistem VEP yang telah lama diguna pakai di Singapura.

Seorang pemilik syarikat sewa kenderaan di Singapura yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Farid turut berkongsi pengalaman berdepan kesukaran mendapatkan tag VEP buat 11 kereta milik syarikatnya.

Menurutnya, beliau telah membuat permohonan VEP buat kali pertama pada Ogos 2024 dan mendapat kelulusan, namun beliau dimaklumkan pihak ejen yang menguruskan permohonannya bahawa permohonan tersebut telah dibatalkan.

“Perkara sama berlaku apabila saya mohon kali kedua pada April 2025. Sekarang ini, saya dah mohon untuk kali ketiga bulan lalu (Jun) dan ejen kata permohonan sudah lulus. Kami sedang menantikan tag VEP dipasang, mungkin minggu depan,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun kereta-kereta itu tidak disewakan untuk ke Johor, beliau tetap memohon VEP kerana beliau dan pemandu syarikat kadangkala menggunakannya untuk urusan peribadi ke seberang Tambak.

Cik Nursidah Malik, 44 tahun, pengurus kanan di sebuah pertubuhan kebajikan di sini, berkata isu pendaftaran VEP yang tertangguh turut menyebabkan beliau menghentikan lawatannya ke Johor sejak sebulan lalu, sebelum penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya biasa ke Johor setiap dua minggu, tetapi sejak Jun, saya tidak lagi. Suami saya bantu daftar (VEP) tapi permohonan tak boleh diteruskan sebab kad Touch ‘n Go atas nama dia, sedangkan kereta atas nama saya,” katanya.

Menurutnya, beliau hanya mendapat kad sendiri pada Jun lalu tetapi belum sempat menyambung proses pendaftaran kerana jadual kerja yang padat.

“Memang ada rancangan nak lengkapkan pendaftaran nanti, tapi tak pasti bila. Mungkin dalam beberapa bulan lagi,” tambah beliau.

Seorang lagi warga Singapura yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Amran, 58 tahun, pula berkongsi beliau telah mengurangkan lawatan ke Johor dek isu pendaftaran VEP itu.

Encik Amran telah membuat permohonan bagi pemasangan tag VEP-nya hampir dua tahun lalu (2023), tetapi menurutnya, sehingga hari ini tidak mendapat sebarang jawapan.

Sebelum ini, beliau kerap ke Johor – sekitar dua hingga tiga kali sebulan – untuk membeli keperluan asas dapur sebelum VEP diperkenalkan. Tetapi kini lawatannya dikurangkan kepada hanya sekali setiap dua bulan, dan itu pun dengan menaiki bas awam.

“Selepas buat permohonan dua tahun lalu, saya tunggu selama tiga bulan untuk dapatkan jawapan bagi pemasangan tag tetapi sampai sekarang senyap saja. Tapi sebab dah lama tunggu, saya pun dah jadi malas nak buat permohonan lagi,” kata beliau.

Pada 4 Jun, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan bahawa pemilik kenderaan asing, termasuk rakyat Singapura, yang gagal mendaftar dan mengaktifkan VEP akan dikenakan saman mulai 1 Julai.

Kenderaan yang tidak memiliki VEP sah akan disaman RM300 ($91) dan pemiliknya diwajibkan membayar saman serta mendaftar VEP sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia.

Ini khusus bagi pemilik kenderaan asing, termasuk pemandu Singapura, yang memasuki Malaysia daripada kededua sempadan darat Malaysia-Singapura iaitu di Tambak Johor dan Linkedua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg