Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaksanaan VEP: Pengguna S’pura mohon sistem pendaftaran dipertingkat

Jul 2, 2025 | 1:53 PM
VEP, M’sia, pemandu S’pura
Warga Singapura menunggu giliran mereka di pusat pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) TCSens di Danga Bay, Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Kementerian Pengangkutan Malaysia digesa agar memperbaiki sistem pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) pengenalan frekuensi radio (RFID) bagi memudahkan warga Singapura mendapatkan tag tersebut, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan kelewatan semasa urusan kemasukan ke Malaysia.

Tinjauan Berita Harian (BH) di pusat pendaftaran VEP TCSens di Danga Bay, Johor Bahru, pada 1 Julai mendapati ramai warga Singapura meluahkan rasa kecewa terhadap kelemahan sistem aplikasi serta tempoh menunggu terlalu lama, meskipun mereka telah berusaha membuat pendaftaran sejak beberapa bulan lalu.

Seorang kakitangan swasta dari Woodlands, Encik Azmi Patir, 54 tahun, berkata beliau telah memulakan pendaftaran VEP sejak Jun 2024, namun masih belum menemui jalan penyelesaian bagi masalah menghubungkan tag RFID kenderaannya kepada akaun e-dompet Touch ‘n Go.

“Masalah saya sebenarnya kecil sahaja... cuma mahu hubungkan RFID dengan akaun e-dompet. Tetapi setiap kali saya masukkan kata laluan sekali guna (OTP), proses itu gagal.

“Saya tiba di sini pada 11 pagi dengan nombor giliran 180, sekarang sudah 2 petang tetapi mereka baru sampai pelanggan nombor 120. Kami mahu patuh kepada undang-undang, tetapi sistem (VEP) tidak mesra pengguna,” katanya ketika ditemui BH.

Seorang lagi pengguna, Encik Raizal Abdul Jalil, 54 tahun, seorang pengurus keselamatan dari Yishun, berkata segala maklumat berhubung pendaftaran VEP sepatutnya diperjelaskan sejak awal tempoh nasihat diperkenal pada Oktober 2024.

“Tag RFID saya sepatutnya dihantar ke rumah sejak awal 2025, tetapi sampai sekarang saya tidak terima apa-apa maklum balas.

“Jadi saya datang terus ke pusat pemasangan di Paradigm Mall, tapi dimaklumkan pula saya perlu ada janji temu dan hanya boleh uruskan di Danga Bay.

“Saya sampai sekitar 2 petang tetapi diberitahu nombor giliran sudah habis dan diminta datang semula pada 8.30 malam,” katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, Encik Fazli Samsuri, 46 tahun, dari Jurong West, berpandangan bilangan kakitangan di TCSens perlu ditambah untuk menangani lonjakan pendaftaran saat akhir menjelang pelaksanaan penguatkuasaan penuh VEP.

“Kami pun faham kakitangan di sini tertekan. Mereka terpaksa hadapi jumlah pengunjung yang ramai, sedangkan sistem pula tidak mesra pengguna.

“Bila kerajaan nak kuatkuasakan peraturan secara menyeluruh, mereka juga patut sediakan pelan sokongan yang efektif.

“Sekarang ini pun pusat Danga Bay baru sahaja mula operasi 24 jam sejak 30 Jun. Sebelum itu, ramai warga Singapura perlu datang beratur sejak 4 pagi,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran tegas bahawa mana-mana pemilik kenderaan asing yang masih belum mendaftar atau mengaktifkan VEP tidak akan dibenarkan keluar dari Malaysia selagi saman yang dikeluarkan tidak diselesaikan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penguatkuasaan penuh ke atas VEP mula dilaksanakan tengah malam 1 Julai dan mana-mana kenderaan yang tidak mematuhi peraturan itu dikenakan saman serta-merta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg