BUKIT MERTAJAM (Pulau Pinang): Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 22 Ogos, atas tuduhan mengeluarkan kenyataan yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam dan kegusaran awam.
Datuk Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau (Melaka), membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit.
Mengikut tuduhan, Datuk Dr Akmal didakwa mengeluarkan kenyataan itu menerusi satu hantaran di media sosial pada kira-kira 3 petang, 11 Ogos lalu, yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran serta kegusaran awam.
Datuk Dr Akmal diwakili pasukan peguam diketuai Encik Aizat Azam dan ketibaannya di mahkamah itu disambut ratusan penyokongnya dengan laungan sorakan ‘Hidup Pemuda’ yang berkumpul seawal 7 pagi, bagi menyatakan sokongan perpaduan terhadap Ketua Pemuda Umno itu.
Mahkamah kemudian membenarkan Datuk Dr Akmal diikat jamin RM5,000 ($1,523) dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September depan untuk serahan dokumen, lapor Malaysiakini.
Pada 14 Ogos lalu, Datuk Dr Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera Malaysia secara terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Beliau sebelum itu menuntut tindakan tegas terhadap pihak yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik, dan menggerakkan himpunan di kedai perkakasan itu dengan alasan untuk mendidik cara betul mengibarkan Jalur Gemilang.
Sebelum ini pada 20 Ogos lalu, Ketua Angkatan Muda (Armada) Bersatu, Encik Muhammad Hilman Idham, yang turut menyertai perarakan di Kepala Batas itu, turut berdepan tuduhan sama di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Media Malaysia melaporkan, Adun Gombak Setia (Selangor) itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz mengikut seksyen berkenaan.
Beliau dituduh membuat kenyataan di akaun Tiktok ‘alfah.channel.tv’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg