Penyertaan rasmi mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ke dalam parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – Parti Keadilan Rakyat (PKR) – mencetuskan ketegangan dan persoalan terhadap semangat setiakawan Umno-PKR sebagai parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, pada 8 Ogos mengesahkan permohonannya menyertai PKR sudah diterima dan kini menganggotai parti itu bagi cabang Ampang, Selangor.
Setiausaha Agung PKR, Cik Fuziah Salleh, mengesahkan mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Pusat PKR pada 26 Julai lalu meluluskan permohonan Tengku Zafrul untuk menyertai parti itu.
Penyertaan Tengku Zafrul yang bakal tamat lantikan senator pada Disember depan, disambut baik kepimpinan PKR, namun menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati dalam kalangan pimpinan Umno.
Beberapa pemimpin kanan Umno melihat langkah itu sebagai tidak sensitif serta membelakangkan adab politik antara rakan komponen kerajaan pemerintah. Namun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam nada sindiran di Facebook mengucapkan terima kasih kepada PKR kerana ‘mengkhianati’ amaran yang telah diberikan untuk tidak menerima Tengku Zafrul sebagai ahli parti itu.
“Terima kasih PKR kerana memberi kami akar umbi Umno erti sebenar Kerajaan Perpaduan ini.
“Amaran sudah diberi, tetapi tetap juga dilakukan. Good luck (Selamat Maju Jaya) Tengku Zafrul – moga akar umbi PKR boleh menerima kamu. Kita jumpa nanti di pilihan raya,” tulis Dr Akmal dalam hantaran di Facebook.
Pimpinan Umno sebelum ini menggelar Tengku Zafrul sebagai tidak mengenang budi atas keputusannya mahu meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.
Sementara itu, penganalisis politik dari Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata Umno mungkin kecewa dengan keputusan PKR menerima Tengku Zafrul, namun sebenarnya boleh meraih manfaat daripada tindakan PKR itu.
“Bagi saya Umno sebenarnya boleh mendapat manfaat daripada penghijrahan Tengku Zafrul ke dalam PKR, kerana Tengku Zafrul tidak ada penyokong dalam Umno, malah di peringkat akar umbi sekali pun.
“Jadi Umno tak perlu timbulkan masalah dengan PKR atau bising-bising kerana jawatan yang disandang Tengku Zafrul sekarang adalah kuota Umno.
“Umno boleh mendesak kerajaan supaya jawatan Menteri dipegang Tengku Zafrul diberikan kepada Umno, apatah lagi Tengku Zafrul bakal tamat lantikan senator akhir 2025,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg