Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khairy perjelas turun kempen bukan untuk parti tapi bantu calon

Aug 9, 2023 | 3:30 PM
BANTU BERKEMPEN: Encik Khairy Jamaluddin (tengah) dilihat meluangkan masa ketika kempen Datuk Harrison Hassan di Puncak Alam pada Isnin.
BANTU BERKEMPEN: Encik Khairy Jamaluddin (tengah) dilihat meluangkan masa ketika kempen Datuk Harrison Hassan di Puncak Alam pada Isnin. - Foto FACEBOOK HARRISON HASSAN

KUALA LUMPUR: Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan kehadiran beliau pada kempen calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan, di Puncak Alam pada Isnin, bukan tanda beliau menyokong parti itu.

Sebaliknya, bekas Ketua Pemuda Umno menjelaskan, beliau turun untuk semata-mata membantu dan menyokong Datuk Harrison, yang disifatkan sebagai rakan lama dalam perjuangan politiknya.

Katanya menerusi siaran podcast Keluar Sekejap lewat malam Selasa, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), terdapat ruang untuk menyokong calon bagi memberi fokus kepada isu tempatan dan masalah setempat.

“Untuk makluman pendengar, Keluar Sekejap akan kekal ‘keluar sekejap’ untuk tempoh agak lama. Saya turun ke Jeram baru-baru ini untuk membantu calon, bukan untuk memilih parti.

“Ramai yang kata saya turun membantu PN dan sebagainya, tetapi saya rasa, dalam pertandingan negeri ini, ada ruang untuk kita sokong calon dan Harrison.

“Saya nak terangkan, sebab, kita di (peringkat) Parlimen, (ialah bagi) pembentukan Kerajaan Persekutuan. Tetapi di negeri, banyak fokus kepada isu tempatan, kehidupan harian, masalah setempat.

“Yang mana, saya rasa, pemilihan itu jangan hanya berkisar kepada bendera parti, tetapi kepada calon. Atas semangat tersebut, untuk kali ini, saya sokong calon.

“Saya pergi ke Jeram sebab calonnya adalah Datuk Harrison Hassan,” katanya.

Pada Isnin, menerusi satu rakaman video yang tular di TikTok, bekas Menteri Kesihatan itu dilihat meluangkan masa membantu kempen calon PN Jeram.

Sebelum ini, Encik Khairy turut ditawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, jika bekas Ahli Parlimen Rembau menyertai parti itu.

Tawaran itu dikemukakan selepas Encik Khairy dipecat UMNO, bagaimanapun bekas Menteri Kesihatan itu memohon “masa tambahan” untuk memikirkan tawaran menyertai Bersatu yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, katanya, selepas ini, beliau akan menyokong dan turun berkempen bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, beliau akan menyokong rakan seperjuangannya itu kerana berpendapat Datuk Reezal adalah calon terbaik bagi DUN tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg