Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khaled Nordin: Kerjasama Muafakat Nasional pandangan peribadi Akmal, pucuk pimpinan tak bincang

Jan 2, 2026 | 5:55 PM
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri), ketika  Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Makam di Pangkalan Kota di Kota Tinggi.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri), ketika  Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Makam di Pangkalan Kota di Kota Tinggi. - Foto FACEBOOK KHALED NORDIN

KOTA TINGGI (Johor): Kepimpinan tertinggi Umno belum dimaklumkan mengenai cadangan Ketua Pemuda, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, agar parti itu bekerjasama semula dengan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan cadangan kerjasama melalui MN itu sekadar pandangan peribadi Akmal.

“Saya tak ada apa-apa perasaan, pandangan ataupun harapan,” katanya.

“Itu pandangan dia (Datuk Dr Akmal). Pandangan individu ataupun mungkin pandangan kebanyakan pemuda, tetapi parti bergerak atas sokongan dan keputusan bersama oleh pelbagai peringkat. Tak ada (perbincangan mengenai MN),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Makam di Pangkalan Kota di Kota Tinggi pada 2 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Dr Akmal sebelum ini memberi cadangan supaya Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan MN dihidupkan semula susulan polemik politik di Perlis.

Beliau turut dilaporkan berkata usaha supaya memperkasakan MN dan bukannya PN itu sudah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Alang-alang bubar sekalilah PN, kita wujudkan semula MN. Amacam?,” soal Datuk Dr Akmal.

Beliau kemudian memuat naik hantaran di Facebooknya dengan nada sindiran, mengingatkan tentang kepentingan memperkuatkan MN.

“Perlis oh Perlis. Dah beritahu sejak dulu lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memperkasakan Muafakat Nasional bukan Perikatan Nasional. Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” tambahnya.

Datuk Dr Akmal yang juga merupakan Exco Melaka membuat kenyataan tersebut susulan situasi politik di Perlis selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikatakan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan Menteri Besar, Encik Mohd Shukri Ramli daripada PAS yang mungkin menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi.

Sebelum ini, MN yang piagamnya ditandatangani 14 September 2019 antara Umno dan PAS boleh dianggap berkubur apabila PAS memuktamadkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bagi menghadapi PRU15.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg