JOHOR BAHRU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Johor menafikan Perikatan Nasional (PN) di Johor bergolak susulan peletakan jawatan Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor pada 30 Disember.
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, menepis dakwaan PN Johor kini berdepan kecelaruan dan kerapuhan dalaman selepas Datuk Dr Sahruddin meletak jawatan.
“Bagi saya, tidak timbul isu bergolak. Hubungan kami sangat baik dengan Datuk Dr Sahruddin, begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Johor.
“Bulan lepas, mesyuarat PN Johor yang diadakan di Batu Pahat berjalan lancar. Mesyuarat itu turut disertai Dr Sahruddin,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Mahfodz berkata pelantikan Pengerusi PN Johor yang baru nanti adalah sepenuhnya di bawah kuasa kepimpinan PN pusat.
Perkara itu katanya selaras dengan perlembagaan PN yang menetapkan kuasa melantik Pengerusi negeri terletak kepada Pengerusi PN Pusat.
“Kita tunggu keputusan PN Pusat. Kuasa melantik Pengerusi PN negeri-negeri ini terletak di bawah Pengerusi PN pusat.
“Situasi sama turut berlaku sebelum ini apabila Datuk Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi PN Johor oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Pengerusi PN Pusat,” katanya.
Terdahulu Datuk Dr Sahruddin yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor mengumumkan peletakan jawatan itu dalam Facebook miliknya.
Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, PN Johor tiada masalah, tiada pergolakan dan hubungan sangat bagus malah baru mesyuarat dua minggu lepas.
“Peletakan jawatan ini tiada kena mengena dengan Johor. Saya mudah sahaja, bila pimpinan Pusat letakkan jawatan, (dan) saya dilantik oleh Tan Sri (Muhyiddin). Bila beliau letak jawatan, saya pun letak (jawatan PN Johor),” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Encik Faezuddin Puad, dilaporkan berkata krisis kepimpinan dan ketidaktentuan hala tuju yang melanda PN di peringkat Pusat kini didakwa turut menular ke peringkat negeri, khususnya di Johor.
“Peletakan jawatan Dr Sahruddin seorang figura politik yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Johor mencerminkan rapuhnya kepercayaan sesama komponen PN dan kegagalan menyatukan agenda parti untuk menyelesaikan isu rakyat.
“Rakyat Johor memerlukan kepimpinan yang stabil dan fokus kepada agenda sebenar seperti pemulihan ekonomi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan, terutama bagi generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.
Encik Faezuddin berkata politik berulang konflik dan percaturan kuasa seperti yang berlaku dalam PN hanya menambah ketidaktentuan dan mengalih perhatian daripada keperluan rakyat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg