PETALING JAYA: Sedang Malaysia bersiap sedia bagi penghijrahan ‘balik kampung’ tahunan yang besar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, bengkel dan pusat servis kenderaan di seluruh Malaysia menghadapi permintaan yang melonjak.
Pemilik kenderaan bergegas mempersiapkan kenderaan mereka bagi perjalanan jauh di jalan raya, demi memastikan perjalanan pulang yang lancar dan selamat bagi perayaan tersebut.
Menjelang Hari Raya, mekanik seperti Encik Mohd Azrai Mad Rasid, 50 tahun, yang mengendalikan pusat servis kereta di Taman Sri Manja, Selangor mengalami lonjakan permintaan daripada pelanggan tetap.
“Kami dapat melihat peningkatan dalam permintaan. Kebanyakan pelanggan telah menempah slot mereka, jadi kami ada sedikit sahaja walk-in kerana kami utamakan janji temu pratempah,” kata Encik Mohd Azrai, lapor The Star.
Bagi mekanik Encik Mohd Aliff Abdul Latif, beliau melihat peningkatan mendadak dalam permintaan servis minggu ini berbanding yang lepas.
“Kami hadkan pembaikan dan pemeriksaan kami kepada kira-kira lima hingga enam kereta setiap hari, bergantung kepada sama ada ia adalah servis utama atau penyelenggaraan rutin,” katanya.
Servis yang paling diminta termasuk penukaran minyak enjin, penggantian bateri, pemeriksaan lampu depan dan belakang, pemeriksaan tayar dan brek serta penyelenggaraan radiator.
Pemandu digesa untuk menservis kenderaan mereka awal untuk mengelak kerosakan pada saat akhir.
Encik Foo Wei Khang, 36 tahun, pemilik pusat servis di Seremban, memberi amaran bahawa mengabaikan pemeriksaan kenderaan boleh meningkatkan risiko kerosakan dalam perjalanan jauh.
“Sekurang-kurangnya, periksa radiator, bateri dan tayar. Jika ia dalam keadaan baik, tidak perlu gantikannya. Jika tidak, bengkel akan mengesyorkan penggantian yang diperlukan,” katanya.
Encik Mohd Aliff pula memberi amaran bahawa pemandu boleh menghadapi masalah serius jika kenderaan mereka rosak semasa musim cuti.
“Senario terburuk ialah mengalami kerosakan di tengah-tengah perjalanan apabila kebanyakan bengkel ditutup untuk cuti,” ujarnya.
Di sebalik penyelenggaraan kenderaan, Encik Mohd Azrai mengingatkan pengguna jalan raya supaya memastikan dokumen mereka juga tersedia.
“Pastikan insurans kereta dan cukai jalan anda sah kerana bengkel akan ditutup semasa musim perayaan.
“Jika apa-apa berlaku sepanjang perjalanan, pembekal insurans menawarkan khidmat tunda, jadi sekurang-kurangnya mereka boleh menunda kereta itu,” terangnya.
Pihak Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Malaysia Berhad menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari puncak menjelang Aidilfitri 2025 di rangkaian lebuh rayanya dan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dijangka mencapai sehingga 70,000 kenderaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg