Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

500 bas diperiksa dalam Op Aidilfitri di M’sia

Mar 24, 2025 | 12:56 PM
Kemalangan membabitkan bas ekspres antara yang sering dilaporkan berlaku pada Aidilfitri.
Kemalangan membabitkan bas ekspres antara yang sering dilaporkan berlaku pada Aidilfitri. - Foto NSTP

SEREMBAN: Lebih 500 bas ekspres diperiksa dalam Pra-Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang diadakan bermula 17 hingga setakat 23 Mac, dengan 11 bas didapati tidak selamat untuk berada di atas jalan raya.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan notis larangan operasi serta-merta ke atas 11 bas terbabit.

“JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Santuni Ramadan di Masjid An-Munawarah Taman Panchor Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, pada 23 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurutnya pemeriksaan dilaksanakan terhadap kenderaan perkhidmatan awam itu membabitkan aspek teknikal di terminal dan depoh bas di serata Malaysia.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil langkah proaktif melaksanakan operasi itu sebelum Operasi HRA 2025 yang akan bermula 24 Mac hingga 8 April ini.

Pra-Operasi HRA ini dilakukan dengan memeriksa kenderaan perkhidmatan awam (bas) iaitu melibatkan aspek teknikal di terminal dan depoh bas di seluruh negara antaranya pemeriksaan enjin, tayar dan sistem brek,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Loke berkata sepanjang musim perayaan sebanyak 2,500 anggota JPJ akan bertugas terutamanya untuk ditempatkan di kawasan hotspot (kerap) kemalangan.

“Kereta peronda JPJ akan berada di lebuh raya di banyak hotspot, jadi pemandu akan lebih berhati-hati dan (persepsi akan ditangkap) kaedah ini memang berkesan, dengan anggota penguat kuasa perlu berada di lapangan,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan utama adalah menggunakan telefon bimbit, tidak menggunakan tali pinggang keledar, memotong barisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had laju, memotong barisan memandu kenderaan berat di lorong laju dan kenderaan melebihi muatan.

Dalam Ops HRA 2024, sebanyak 14,394 kemalangan jalan raya dicatatkan seluruh Malaysia, dengan kadar kematian pula direkodkan sebanyak 134 orang.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak 16,000 kesalahan melibatkan had kelajuan antara 130 hingga 170km/jam diperoleh pihak berkuasa.

Pihak Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Malaysia Berhad menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari puncak menjelang Aidilfitri 2025 di rangkaian lebuh rayanya dan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dijangka mencapai sehingga 70,000 kenderaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg