Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat tren elektrik Johor Bahru-KL mula operasi 12 Dis

Laluan jarak lebih jauh, hingga ke Padang Besar, Butterworth dalam perancangan
Nov 22, 2025 | 4:02 PM
Kereta api ETS akan mula berkhidmat antara Johor Bahru dengan Kuala Lumpur pada 12 Disember.
Kereta api ETS akan mula berkhidmat antara Johor Bahru dengan Kuala Lumpur pada 12 Disember. - Foto fail

KLUANG: Perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Kuala Lumpur akan memulakan operasi secara rasmi pada 12 Disember, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.

Beliau menambah, perkhidmatan itu akan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,  di Johor Bahru sehari sebelum ia dibuka kepada awam, iaitu pada 11 Disember.

“Pada peringkat awal, perkhidmatan kereta api ini  akan lebih tertumpu kepada laluan ke Kuala Lumpur, dengan laluan jarak jauh, termasuk perkhidmatan ke Padang Besar dan Butterworth, dijadualkan dalam fasa-fasa berikutnya.

“Bagi laluan lebih jauh, kereta api hanya boleh melakukan dua perjalanan sehari – sekali pergi dan sekali balik. Sektor lebih pendek seperti Johor Bahru ke Kuala Lumpur membolehkan lebih banyak perjalanan ditawarkan,” ujar Encik Loke semasa sidang media selepas merasmikan Festival Rel Kluang di Taman Rel Mahkota, pada 22 November.

Beliau turut menasihati mereka yang ingin melakukan perjalanan dengan kereta api ke negeri-negeri utara dari Johor Bahru supaya menggunakan perkhidmatan transit untuk menyambung perjalanan mereka.

Pada 21 November, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, memberitahu dewan undangan negeri bahawa Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang dinanti-nantikan sudah siap 99.94 peratus, dengan jangkaan siap sepenuhnya pada hujung bulan tersebut. 

Projek itu, yang dimulakan pada 1 Disember 2016, merangkumi laluan sepanjang 192 kilometer merentasi Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru.

Kerja-kerja akhir sedang dijalankan sebelum landasan beroperasi sepenuhnya.

“Sebanyak 12 perkhidmatan kereta api elektrik akan ditawarkan setiap hari di bawah jadual perkhidmatan penuh - lapan perjalanan di laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru;  dua di laluan Johor Bahru-Padang Besar; dan dua di laluan Johor Bahru-Butterworth,” kata beliau. –Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg