SEGAMAT (Johor): Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Kuala Lumpur dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pertengahan Disember, kata Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke.
Beliau berkata kerja-kerja teknikal kini di peringkat akhir bagi memastikan perkhidmatan berkenaan dapat dimulakan Disember, sekali gus menjadi pemangkin besar kepada jaringan pengangkutan awam antara Johor dengan ibu kota.
“Walaupun persiapan akhir sedang dijalankan, kami juga sedang mencari tarikh yang sesuai kerana masih ada beberapa perkara kecil yang perlu disiapkan.
“Perkhidmatan ini dijangka dapat dimulakan selewat-lewatnya pertengahan Disember,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor pada 2 November.
Encik Loke berkata laluan baru itu akan meningkatkan kemudahan perjalanan ketika Johor bersiap sedia menerima kehadiran pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“ETS sebelum ini telah menghubungkan Kuala Lumpur ke Segamat pada awal 2025 dan ke Kluang beberapa bulan lalu. Saya yakin sambungan ke Johor Bahru ini akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negeri,” katanya lapor The Star.
Beliau berkata sambungan laluan itu juga akan memberi manfaat kepada bandar-bandar di sepanjang jajaran seperti Segamat, Labis, Kluang dan Kulai, dengan kesan limpahan ekonomi yang dijangka meningkat.
Mengenai jualan tiket ETS Johor Bahru-Kuala Lumpur, Encik Loke berkata pengumuman akan dibuat sebaik sahaja tarikh pelancaran disahkan.
“Kebiasaannya, jualan tiket akan dibuka sebulan sebelum perkhidmatan bermula, tetapi kami akan cuba memendekkan tempoh itu. Sebaik sahaja tarikh operasi diumumkan, kami akan turut umumkan kadar harga tiket,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kejayaan penganjuran Sidang Puncak Asean 2025 di Kuala Lumpur minggu lalu telah meningkatkan keyakinan penjawat awam terhadap kerajaan Malaysia.
Beliau mengakui terdapat sedikit keraguan dalam kalangan penjawat awam ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mula mengambil alih pentadbiran.
“Kita tidak boleh menyalahkan mereka atas keraguan awal terhadap ketahanan kerajaan sekarang memandangkan antara tahun 2020 hingga 2022, negara mengalami pertukaran tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun.
“Namun melalui penganjuran Sidang Puncak Asean baru-baru ini yang dihadiri pemimpin dunia di Kuala Lumpur, kita telah membuktikan bukan sahaja kerajaan ini mampu bertahan, malah juga mampu mentadbir dan memimpin negara,” katanya.
Sementara itu, Encik Loke turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP telah menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Setiausaha Agung, Encik Steven Sim, bagi menyelaras sambutan ulang tahun ke-60 DAP pada 2026.
“Jawatankuasa ini akan merangka program di peringkat kebangsaan, negeri dan akar umbi supaya sambutan ini tidak hanya tertumpu kepada acara makan malam semata-mata.
“Kita mahu adakan lebih banyak program seperti sukan, rekreasi, pameran dan persembahan kreatif bagi memperkenalkan perjuangan parti kepada generasi muda yang mungkin kurang mengenali sejarah DAP,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg