JOHOR BAHRU: Kawasan mercu tanda Kilometer Sifar (0KM) Johor Bahru sedang diberi nafas baru sebagai antara tarikan utama di pusat bandar raya ini menerusi penambahbaikan pencahayaan, paparan visual dan landskap.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menghidupkan semula ruang bandar yang mempunyai nilai sejarah, identiti dan potensi pelancongan.

Beliau berkata perubahan itu bukan sekadar melibatkan pemasangan lampu atau kerja mencantikkan kawasan, malah bertujuan memberi fungsi baru kepada ruang berkenaan supaya menarik lebih ramai pengunjung.

“Apabila datang sendiri pada waktu malam, kita dapat melihat bagaimana kawasan ini mula berubah menjadi ruang yang lebih hidup, menarik dan mesra untuk dikunjungi rakyat serta pelancong.

“Elemen pencahayaan, paparan visual, landskap dan suasana keseluruhan kawasan mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau kawasan itu bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 16 September.

Datuk Mohd Jafni berkata, penambahbaikan 0KM Johor Bahru adalah sebahagian daripada Projek Menaik Taraf Infrastruktur dan Pengindahan Johor Bahru City Centre (JBCC) yang dilaksanakan MBJB bersempena Tahun Melawat Johor 2026.

Menurutnya, projek itu menerapkan pendekatan pembentukan ruang bandar dengan memberikan penekanan kepada kelestarian, penghijauan dan pembangunan rendah karbon.

Ia juga bertujuan menjadikan pusat bandar Johor Bahru lebih mesra pejalan kaki, selesa untuk didiami dan dilihat lebih bertenaga tanpa mengetepikan identiti serta warisan bandar raya berkenaan.

Kawasan 0KM merupakan antara elemen mercu tanda di Zon 2 bersama hentian bas strategik dan pencahayaan pokok warisan.

Keseluruhan perancangan JBCC bakal menghubungkan kawasan tumpuan dari Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tan Hiok Nee dan Jalan Ibrahim dengan beberapa destinasi utama.

Antaranya termasuk Bukit Timbalan, jajaran Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Coronation Square, Kota Jail dan Zoo Johor menerusi jaringan pejalan kaki serta kemudahan pergerakan jarak dekat.