Topik diikuti
Pergi ke BHkuRM50j perindah flat awam Johor, hampir 47,000 penduduk gaji rendah raih manfaat
RM50j perindah flat awam Johor, hampir 47,000 penduduk gaji rendah raih manfaat
Kerajaan Johor komited pantau projek hingga siap agar tidak lewat, tetap bermutu
RM50j perindah flat awam Johor, hampir 47,000 penduduk gaji rendah raih manfaat
Kerajaan Johor memperuntuk RM50 juta ($15 juta) bagi melaksanakan kerja mengecat flat kos rendah, flat kos sederhana rendah swasta dan flat awam di seluruh negeri, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 46,772 penduduk daripada golongan B40 (bergaji rendah).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata program berkenaan melibatkan 170 blok dengan 11,693 unit kediaman di 26 lokasi di bawah empat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata pelaksanaan projek itu menjadi antara tumpuan utama lawatan kerja pertamanya bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, selepas memulakan penggal kedua sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.
“Lawatan ini memberi peluang kepada kami melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar taklimat daripada agensi pelaksana serta memastikan segala perancangan yang diputuskan kerajaan negeri benar-benar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Julai.
Menurut Datuk Mohd Jafni, projek berkenaan diselaraskan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bersama Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
Beliau berkata setiap projek membabitkan kediaman rakyat perlu dipantau rapi.
“Bagi saya, setiap projek yang melibatkan kediaman rakyat mesti dipantau dengan dekat kerana ia bukan sekadar soal rupa fizikal bangunan, malah turut menyentuh keselesaan, keselamatan dan maruah keluarga yang tinggal di dalamnya,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata bagi Pangsapuri Desa Muafakat di Larkin, kerja mengecat telah bermula pada 15 Jun lalu dan dijadual siap pada 16 September ini.
Berdasarkan lawatan berkenaan, kemajuan fizikal projek telah mencapai 34.06 peratus dengan nilai peruntukan melebihi RM3.56 juta.
“Perkembangan ini menunjukkan kerja sedang berjalan dengan baik, namun pemantauan tetap perlu diteruskan supaya setiap bahagian bangunan disiapkan dengan kemas, menggunakan bahan bermutu dan menepati spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata Menteri Besar turut mengingatkan semua agensi pelaksana dan kontraktor supaya memastikan projek bukan sahaja disiapkan mengikut jadual, malah mencapai mutu kerja yang tinggi demi keselesaan penduduk.
Selain meninjau projek pengecatan, lawatan itu turut menilai kemajuan pembinaan Tabika Kemas Bangsa Johor serta menerima taklimat mengenai isu mendapan cerun berhampiran kawasan letak kenderaan dan kerosakan jalan di dalam kawasan pangsapuri.
Menurut Datuk Mohd Jafni, semua isu itu akan diberi perhatian kerana kesejahteraan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada keadaan rumah, malah meliputi kemudahan pendidikan, keselamatan persekitaran, akses jalan dan ruang awam.
Beliau berkata pendekatan turun padang akan terus menjadi amalan sepanjang penggal kedua bagi memastikan setiap projek yang diluluskan kerajaan bergerak mengikut jadual dan dipantau sehingga siap.
“Saya mahu setiap projek yang telah diluluskan benar-benar bermula, bergerak mengikut jadual dan dipantau sehingga selesai.
“Tiada ruang untuk kerja bertangguh atau saling melepaskan tanggungjawab kerana akhirnya rakyat yang menanggung kesannya,” tambah beliau.
