Topik diikuti
Pergi ke BHkuKL, Putrajaya dan Sarawak terjejas jerebu
KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Malaysia termasuk Putrajaya, Kuala Lumpur dan banyak kawasan di Sarawak dilanda jerebu, dengan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dan tidak sihat, pada 12 Ogos.
Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 10 pagi, Putrajaya mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 104, sementara Kuala Lumpur (101).
Kawasan Serian di Sarawak mencatatkan IPU sangat tidak sihat melebihi 200, manakala lapan lagi stesen pemantauan di negeri itu turut merekodkan bacaan IPU tahap tidak sihat.
Ia meliputi Kuching (172); Samarahan (170); Sarikei (161); Bintulu (157); Sri Aman (157); Samalaju (152); Sibu (151); dan Miri (133).
Sementara itu, sebanyak 52 kawasan iaitu kebanyakan di Semenanjung Malaysia merekodkan IPU pada tahap sederhana akibat jerebu rentas sempadan, lapor Berita Harian Malaysia.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, manakala 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
Setakat ini enam sekolah di Tebedu, di Serian Sarawak, kawasan paling hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia, ditutup sementara mulai 12 Ogos menyusuli bacaan IPU melebihi 200 akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam satu kenyataan, memaklumkan penutupan berkenaan adalah langkah pencegahan selaras ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga sekolah.
JPNS berkata proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian akan diteruskan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata kerajaan Sarawak akan terus memantau keadaan jerebu di negeri itu berikutan bacaan IPU di kebanyakan kawasan terutama di bahagian selatan kini melebihi paras 100.
Data bacaan IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh Malaysia.
Media melaporkan kebakaran hutan berskala besar sedang berlaku di wilayah Kalimantan, Indonesia, sehingga mengakibatkan jerebu teruk melanda Kalimantan Barat.
Dianggarkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia terjejas akibat kebakaran setakat 10 Ogos lalu, dengan kerajaan Indonesia meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejas negara jiran.
