JOHOR BAHRU: Lebih 350,000 rakyat Malaysia yang menaiki bas dan motosikal telah mendaftar untuk menggunakan kod QR semasa melalui pemeriksaan kastam untuk memasuki Singapura dari Malaysia.
Menggunakan kod QR dijangka mempercepat proses pemeriksaan imigresen dan penumpang kereta dijangka dibolehkan berbuat sedemikian juga.
Rancangan jangka panjang juga diperuntuk untuk melanjutkan penggunaan kod QR ini kepada warga asing, serupa dengan pintu masuk imigresen automatik di Malaysia.
Apabila dihubungi, pengerusi jawatankuasa kerja, pengangkutan, prasarana dan perhubungan, Encik Fazli Salleh berkata kerajaan negeri berharap sistem QR untuk kereta boleh diuji semasa tempoh bukti konsep (POC) yang sedang berlangsung sehingga 30 November.
“Sejauh ini, kod QR berkesan bagi penumpang bas dan penunggang motosikal. Kami boleh menggunakan sebahagian hadwe yang untuk menguji penggunaan kereta,” ujar beliau, yang berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri akan berupaya melaksana ujian tidak lama lagi.
“Kami hanya perlu mengalihkan prasarana yang ada untuk diuji di satu atau dua lorong kereta.
“Matlamat utama kami ialah untuk mengenal pasti dan menghuraikan semua masalah kerana saya pasti sistem kod QR ini akan dilaksana bagi semua kenderaan pada masa depan,” kata beliau, bercakap dengan akhbar The Star.
Encik Fazli berkata Johor mahukan sistem yang berkesan dilaksana untuk mempermudah pergerakan orang, terutama dengan pembentukan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.
Tempoh POC bagi tiga sistem yang digunakan untuk pelepasan imigresen di dua sempadan darat dengan Singapura dijangka berakhir pada 30 November.
POC itu, yang menguji kesesuaian langkah tertentu, pada awalnya dijadual berakhir pada 30 September. Tiga penyedia khidmat aplikasi atau app telah diuji, iaiau MyTrip, MyBorderPass dan MyRentas.
The Star berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MOHA) telah memilih satu sistem untuk menguruskan pelepasan orang di sempadan dan dijangka mengumumkan pihak yang berjaya tidak lama lagi.
Difahami, lebih 350,000 rakyat Malaysia sedang menggunakan tiga app itu di kededua pusat pemeriksaan darat sejak Jun.
Buat masa ini, orang yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Abu Bakar (KSAB) di LinKedua menggunakan MyTrip, sementara orang yang melalui CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BS) di Johor Bahru menggunakan MYRentas.
Penunggang motosikal di Johor Bahru menggunakan MyBorderPass, yang menggunakan teknologi mengesan wajah atau mengimbas kod QR.
MyTrip mempunyai paling banyak pendaftaran, iaiti hampir 200,000, diikuti MyBorderPass dan MyRentas, yang masing-masing menerima 80,000 pendaftaran.
Seorang pegawai MOHA berkata dalam fasa selanjutnya, sistem kod QR boleh diperluas untuk digunakan oleh warga asing.
Pegawai itu berkata adalah penting bagi kerajaan negeri dan kerajaan federal untuk bekerjasama dan menghuraikan isu-isu di sempadan, terutama untuk mempermudah pelepasan kededua rakyat Malaysia dan warga asing.
Penunggang motosikal, Encik Chenderan Munian, 53 tahun yang telah menggunakan MrBorderPass sejak ia dilancarkan di BSI berkata sistem itu berkesan dan menjimatkan masa.
“Ia lebih pantas daripada sistem MBike dan kamera pengesan wajah berkesan,” ujar beliau yang melahirkan harapan sistem kod QR dan pengesanan wajah boleh dipasangkan di semua lorong motosikal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg