JOHOR BAHRU: Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Johor yang akan diadakan pada 17 Mei ini adalah wadah penting menentukan hala tuju kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya.

Ahli Parlimen (AP) Pulai, Encik Suhaizan Kaiat berkata konvensyen di Persada Johor Bahru itu mesti menjadi pentas untuk memperjelas s kedudukan dan strategi politik terkini Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

“Keadaan politik di Johor ketika ini masih belum memperlihatkan kerangka kerjasama yang benar-benar tersusun dan menyeluruh antara PH dan BN meskipun kedua-duanya bekerjasama di peringkat Persekutuan.

“Konvensyen ini amat penting dalam memberikan hala tuju yang jelas kepada PH menghadapi pilihan raya negeri (PRN) serta pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Mei

Beliau berkata konvensyen itu juga sewajarnya menjadi medan untuk memperjelaskan kedudukan dan strategi politik semasa, lapor MalaysiaGazette.

Jelasnya, ini termasuk mengambil kira latar belakang tiadanya pembentukan kerjasama rasmi melibatkan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Encik Suhaizan yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, berkata selain itu terdapat keperluan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

Jelasnya konvensyen itu juga penting bagi membincangkan isu politik semasa termasuk ketiadaan pembentukan kerjasama rasmi Kerajaan Perpaduan di Johor dan isu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa cadangan mengadakan PRN dan PRU secara serentak wajar dipertimbangkan secara serius.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan penggunaan sumber kerajaan, malah mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi rakyat.

“Negeri-negeri di bawah pentadbiran PH dan BN wajar mempertimbangkan penyelarasan pilihan raya secara bersama demi kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran.

“Pengundi di Johor sebahagiannya bekerja di Singapura dan mereka berdepan kesukaran untuk pulang mengundi dua kali sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan,” katanya.

Beliau berkata rakyat kini sedang menantikan keputusan berkaitan hala tuju PRN dan PRU yang akan datang.

Menurut beliau, konvensyen berkenaan diharap menjadi titik penting dalam membina kesepakatan politik serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan parti komponen PH.

Encik Suhaizan berkata kejelasan hala tuju politik amat penting bagi memastikan kestabilan negara dan negeri dapat terus dipertahankan.

“Saya berharap konvensyen ini menjadi titik penting dalam membina kesepakatan, memperkukuh kerjasama dan menetapkan arah perjuangan yang jelas demi masa depan negara dan Johor,” katanya.