Pilihan Raya Umum dan Negeri dicadang diadakan serentak
Langkah jimat kos, kurangkan ketidaktentuan politik
Ahli Parlimen (AP) Pulai, Encik Suhaizan Kaiat, mencadangkan agar Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan secara serentak melibatkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjimatkan kos negara serta mengurangkan ketidaktentuan politik.
Beliau berkata cadangan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar kerajaan dan rakyat mengambil pendekatan berhemah serta mengamalkan penjimatan dalam menghadapi kemungkinan cabaran ekonomi global.
Menurut Encik Suhaizan, perkembangan geopolitik dunia termasuk konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global.
Katanya, konflik tersebut juga boleh menjejaskan laluan perdagangan tenaga dunia seperti Selat Hormuz yang merupakan laluan utama bekalan minyak dunia.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan PRU16 secara serentak melibatkan Parlimen dan DUN bagi menjimatkan kos serta mengurangkan ketidaktentuan politik,” katanya dalam satu kenyataan media pada 12 Mac.
Encik Suhaizan berkata sekiranya PRU16 dirancang secara strategik, Pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) beberapa negeri termasuk Melaka serta Johor boleh dipertimbangkan untuk diadakan lebih awal dan secara serentak.
Menurutnya, pendekatan tersebut mampu memberi beberapa kelebihan termasuk penjimatan kos kerana pilihan raya tidak perlu diadakan secara berasingan.
Beliau berkata langkah itu juga dapat mengurangkan keletihan politik dalam kalangan rakyat akibat pilihan raya yang kerap.
“Selain itu, ia dapat memberikan mandat yang lebih jelas dan stabil kepada kerajaan di semua peringkat untuk memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Encik Suhaizan berkata dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu ketika ini, negara memerlukan kestabilan politik, disiplin fiskal serta perancangan strategik bagi menghadapi sebarang kesan daripada krisis global.
“Saya percaya cadangan ini wajar dipertimbangkan secara serius demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

