Ladang kopi yang diusahakan Encik Muhammad Nur Ariff Zakaria di Kampung Charuk Durian, Chepir, Sik, Kedah, bukan hanya membawa perubahan kepada landskap kawasan pertanian di situ, malah turut menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan masyarakat setempat.
Encik Muhammad Nur Ariff berkata ia membuka peluang secara langsung kepada penduduk kampung untuk terbabit sebagai tenaga kerja ladang, terutama semasa musim menuai yang berlangsung antara tiga hingga empat bulan setiap tahun.
Katanya, mereka memerlukan tenaga kerja yang mampu bertahan dalam keadaan panas dan hujan, bekerja di ladang terbuka setiap hari memetik biji kopi.
“Waktu puncak menuai, kami perlukan ramai orang. Saya utamakan orang kampung, bukan saja sebab mudah, tapi juga nak bantu mereka dapat pendapatan tetap.
“Mereka ini bukan sahaja terbabit dalam kerja penuaian, malah ada yang dilatih untuk mengendalikan proses pengeringan dan pengasingan biji kopi, sekali gus membuka ruang kepada pembelajaran kemahiran baru,” katanya kepada Berita Harian Malaysia.
Tambahnya, memang sejak awal mengusahakan ladang kopi beliau berniat untuk membabitkan orang kampung dari segi membantu menaikkan taraf kehidupan mereka.
Katanya lagi, tidak semua anak muda di situ mampu bekerja di daerah jauh, jadi ladang kopi itu boleh memberi peluang pekerjaan kepada mereka.
Seorang pekerja di ladang itu, Encik Romli Zakaria, 51 tahun, berkata beliau bersyukur kerana mendapat upah tetap dan kerja yang lebih teratur di ladang berkenaan.
Katanya, sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai penoreh getah dan mengambil upah memotong rumput dan pelbagai lagi kerja kampung demi menyara isteri dan anak-anak.
“Dulu saya buat macam-macam kerja untuk tampung perbelanjaan keluarga, Alhamdulillah, sejak ladang ini dibuka saya ada pendapatan tetap sekarang.
“Selain kopi, kami juga ada menanam pokok durian Musang King sebagai selingan, insya-Allah ladang ini akan ada dua daya penarik untuk orang ramai datang ke sini,” katanya.
Encik Romli berkata beliau kini turut melatih dua orang anak muda di ladang berkenaan selain diajar mengenai teknik penjagaan pokok dan pemprosesan biji kopi secara tradisional.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg