Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelancongan lestari Sungai Melayu di Johor tarik lebih 100,000 pelancong sejak 2012

Inisiatif dengan sokongan masyarakat setempat khusus bagi bantu nelayan jana pendapatan alternatif
Jun 15, 2025 | 5:30 AM
sungai melayu
Pelawat menaiki bot menyusuri Sungai Melayu sambil menikmati keindahan hutan paya bakau yang masih terpelihara di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Aktiviti pelancongan berasaskan masyarakat dan kelestarian alam sekitar di Kampung Sungai Melayu, Johor, semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, dengan lebih 100,000 pelancong luar negara telah direkodkan sejak program itu dimulakan pada 2012.

Kampung nelayan tradisional itu, yang terletak berhampiran Gelang Patah dan menghadap Selat Johor, menjadi antara destinasi utama pelancongan eko berkonsepkan masyarakat di negeri itu.

Inisiatif tersebut digerakkan sepenuhnya oleh Koperasi Kampung Melayu dengan sokongan masyarakat setempat, khususnya bagi membantu nelayan menjana pendapatan alternatif selepas hasil laut mereka terjejas susulan pembangunan pesat di kawasan perairan Johor.

Antara yang masih aktif terlibat dalam program ini ialah Encik Abdul Halim Mohd Ali, 70 tahun, yang telah menjadi nelayan sejak usianya 19 tahun.

Beliau kini bertugas sebagai pemandu bot pelancong sambil menyampaikan maklumat berkaitan flora, fauna dan sejarah kampung.

“Kami, nelayan tua ini, sudah tidak kuat lagi untuk ke laut... tetapi melalui program ini, kami masih dapat menyumbang, berkongsi cerita dan bawa pelancong menyusuri sungai. Ia memberi kami harapan baru,” katanya.

Namun, Encik Abdul Halim turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesinambungan program itu sekiranya golongan muda terus menjauhkan diri daripada pekerjaan tradisi kampung seperti ini.

“Kebanyakan pemandu bot sekarang berumur lebih 60 tahun. Anak muda pula lebih cenderung bekerja di bandar, kononnya gaji lebih lumayan.

“Tetapi saya percaya, kalau ada kempen promosi menyeluruh, mungkin anak muda akan lebih terbuka. Kita juga perlukan latihan dan galakan daripada agensi kerajaan supaya program ini boleh terus bertahan untuk generasi akan datang,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang turut menjayakan pelancongan masyarakat itu ialah Encik Hamidon Ahmad, 77 tahun. Bekas nelayan itu berkata program tersebut amat berbaloi bagi warga emas yang masih sihat dan ingin terus aktif menjana pendapatan.

“Dengan bayaran minimum RM35 ($10.59) seorang, kami boleh memperoleh sehingga RM300 sehari. Itu sudah cukup bagi menyara kehidupan harian kami, tanpa perlu bergantung pada anak atau badan bantuan,” katanya.

Menurutnya, perjalanan menyusuri Sungai Melayu sejauh enam kilometer mengambil masa kira-kira sejam, dan sepanjang laluan tersebut, pelawat dapat menyaksikan sendiri keindahan hutan paya bakau serta pelbagai hidupan liar seperti ular, monyet, buaya, ketam dan kupang yang hidup liar di pesisir sungai.

“Semua ini adalah alam semula jadi yang kami pelihara sejak dahulu. Pelancong dapat saksikan sendiri bagaimana kami mencari rezeki dan hidup seiring dengan alam. Ini bukan rekaan atau persembahan – ini realiti hidup kami di sini,” tambahnya.

Selepas lawatan bot, pelawat disambut dengan demonstrasi memasak keropok kupang serta pembuatan kraf tangan menggunakan kulit kupang oleh kumpulan ibu tunggal di kampung tersebut.

Bagi Encik Nguyen Toan Thang, 41 tahun, seorang pelawat dari Ang Mo Kio, Singapura, lawatannya ke Kampung Sungai Melayu bersama 40 rakan sekerja adalah sebahagian program pembinaan semangat berpasukan syarikatnya.

“Kami mencari program team building yang lain daripada biasa. Semasa melayari Internet, kampung ini muncul sebagai antara pilihan utama. Selepas mencubanya sendiri, kami langsung tidak menyesal memilih tempat ini,” ujarnya.

Encik Thang menyifatkan pengalaman di kampung tersebut sebagai “tenang dan menyegarkan” kerana mereka berasa seolah-olah dibawa ke dunia lain – jauh daripada kesibukan bandar dan tekanan kerja.

Menurutnya, bukan sahaja landskap dan suasana kampung memukau perhatian, bahkan keramahan penduduk dan kesungguhan mereka dalam menjayakan aktiviti pelancongan turut meninggalkan kesan mendalam.

Sementara itu, Encik Gareth Lovell, 38 tahun, dari Plymouth, Britain, berkata beliau tidak menyangka kawasan sekecil Gelang Patah mampu menawarkan pengalaman pelancongan alam semula jadi yang begitu tersusun dan memuaskan.

“Saya pernah lakukan aktiviti serupa di Cuba dan Britain, tapi di sini saya rasa lebih puas. Perjalanan bot dikendalikan dengan baik dan ada penerangan jelas. Kita juga rasa lebih selamat kerana ada pemandu berpengalaman,” ujarnya.

Menurut Encik Lovell, walaupun cuaca panas agak mencabar baginya, keindahan hutan paya bakau dan peluang melihat haiwan liar secara dekat menjadikan pengalaman itu tidak terasa lama.

“Suasana di sini begitu asli. Tiada pencemaran bunyi, tiada gangguan manusia. Semuanya nampak semula jadi dan tidak disentuh pembangunan. Saya tak sangka ada tempat sebegini di Johor,” tambahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM12.2 juta bagi menaik taraf prasarana pelancongan di Kampung Sungai Melayu.

“Antara kemudahan yang sedang dibangunkan termasuk pintu gerbang baru, jeti moden, pentas budaya, hentian lori dan tempat meletak kereta yang mesra kenderaan elektrik (EV),” katanya.

Tambahnya, kerja naik taraf dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2025 dan dijangka memberi kesan langsung terhadap kemasukan pelancong asing ke kawasan tersebut.

“Kampung ini kini mempunyai 60 bot yang beroperasi secara aktif dan mampu membawa sehingga 180 pelawat dalam satu masa. Sejak 2012, lebih 100,000 pelancong asing telah datang ke sini, tidak termasuk pelancong domestik,” katanya.

Menurut Datuk Pandak, pelancong dari Singapura kekal sebagai kumpulan terbesar berikutan kedudukan strategik kampung itu yang berhampiran Linkedua Malaysia-Singapura.

Namun, terdapat peningkatan ketara pelancong dari Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg