Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ladang pertanian menegak dalam bangunan terbesar di M’sia dilancar

Jul 7, 2025 | 4:18 PM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah), ketika majlis perasmian ladang pertanian menegak dalam bangunan terbesar di Malaysia di Taman Perindustrian Nusajaya, Iskandar Puteri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah), ketika majlis perasmian ladang pertanian menegak dalam bangunan terbesar di Malaysia di Taman Perindustrian Nusajaya, Iskandar Puteri. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor): Sebuah ladang pertanian menegak dalam bangunan atau ‘indoor vertical farming’, terbesar di negara Malaysia dilancar pada 7 Julai di Taman Perindustrian Nusajaya, Johor.

Ladang pertanian menegak tertutup itu dibuka hasil kerjasama syarikat Malaysia-Singapura, iaitu FarmByte, sebuah syarikat agri-makanan digital di bawah Johor Corporation (JCorp) dan firma agriteknologi dari Singapura, Archisen, seterusnya dinamakan FarmByte Archisen Sdn Bhd.

Ladang berteknologi tinggi itu meliputi keluasan 52,000 kaki persegi atau 0.48 hektar di dalam bangunan di kawasan industri berkenaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ladang berkenaan menggunakan pendekatan pertanian persekitaran terkawal (CEA) untuk menanam hasil segar tanpa racun perosak sepanjang tahun, selain tanpa bergantung kepada faktor keadaan cuaca.

Menurutnya, dengan penggunaan teknologi CEA, ladang berkenaan membolehkan pemantauan masa nyata terhadap pengeluaran tanaman, penghantaran nutrien serta kawalan mikroiklim menerusi rangkaian sensor.

Beliau berkata sistem pengairan yang diautomasi pula membolehkan penyaluran nutrien yang tepat kepada tanaman, sekali gus meningkatkan kecekapan keseluruhan proses penanaman.

“Amalan pertanian di ladang ini turut disokong penggunaan teknologi ‘machine learning’ bagi membangunkan resipi tanaman untuk mendapatkan nutrien dan hasil tuaian maksimum.

“Selain itu, penggunaan sistem tertutup membolehkan air dan nutrien dikitar semula secara berterusan bagi mengurangkan pembaziran input.

“Data dikumpul daripada ladang termasuk suhu dan kelembapan relatif juga akan terus digunakan untuk memperkemas sistem dan membuat pelarasan secara automatik.

“Reka bentuk infrastruktur yang modular dan berskala membolehkan pembinaan ladang pertanian menegak yang sama di kawasan bandar dan pinggir bandar, sekali gus menyokong pengeluaran makanan secara terdesentralisasi dan membawa sumber makanan lebih dekat kepada pengguna,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan ladang berkenaan pada 7 Julai.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah FarmByte Archisen, Encik Vincent Wei.

Datuk Onn Hafiz berkata ladang pertanian menegak dalaman terbesar negara itu menjadi bukti kukuh kerjasama strategik antara Malaysia dengan Singapura dalam bidang ketahanan makanan.

Menurutnya, usaha sama antara FarmByte dengan Archisen itu adalah inisiatif perintis di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bakal membuka jalan ke arah kerjasama rentas sempadan yang lebih mendalam.

“Ladang berkenaan dijangka menghasilkan 306,000 kilogram hasil segar setiap tahun, sekali gus menjadi aset strategik menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara Malaysia serta sasaran ‘30 by 30’ Singapura yang bertujuan meningkatkan kadar pengeluaran makanan dalam negara sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Pembukaan ladang ini adalah satu sejarah untuk Johor, Malaysia dan Singapura.

“Projek usaha sama membangunkan ladang pertanian menegak dalam bangunan terbesar Malaysia ini dirintis sejak 2023 oleh JCorp dan Archisen sebelum ia direalisasikan hari ini dengan nilai pelaburan RM40 juta ($12 juta),” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg