Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagi kes bendera terbalik, kali ini di premis klinik gigi swasta Pontian Johor

Aug 21, 2025 | 3:38 PM
bendera terbalik, Johor,
Wakil premis klinik pergigian swasta diarahkan untuk memperbetulkan pemasangan ‘Jalur Gemilang’ dan bendera negeri Johor serta-merta. - Foto FACEBOOK MAJLIS PERBANDARAN PONTIAN

PONTIAN (Johor): Polis Daerah Pontian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Timbalan Superintendan Abd Hamid Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati pemasangan bendera dilakukan tanpa niat untuk menghina atau tidak menghormati simbol kebangsaan itu.

Sebaliknya menurutnya ia berpunca daripada kecuaian pihak yang memasangnya dan pihak premis telah tampil memberikan kerjasama sepenuhnya, tindakan segera telah diambil bagi membetulkan kedudukan bendera tersebut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini tular di media sosial, sehelai Jalur Gemilang yang dipasang pada tingkap atas bangunan dua tingkat melibatkan sebuah premis dipasang secara terbalik bersebelahan dengan bendera negeri Johor di Pusat Perdagangan Pontian.

Insiden itu menimbulkan sedikit kekecohan apabila beberapa orang awam dipercayai marah dengan kejadian itu, lapor Kosmo!.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dalam satu kenyataan pada 20 Ogos memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu sebelum dua anggota penguatkuasa dikerah ke lokasi kejadian bagi melakukan semakan.

“Hasil pemeriksaan di lapangan mendapati kesalahan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik telah berlaku, dengan Jalur Gemilang digantung dari tingkap Aras Dua bahagian dalam premis berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan, klinik terbabit telah pun tamat waktu operasi. Justeru, pihak MPPn bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menghubungi pekerja premis untuk hadir ke lokasi,” menurut kenyataan itu.

Selepas dihubungi, wakil pekerja klinik berkenaan hadir ke lokasi dan melakukan pembetulan serta-merta terhadap Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik.

Selain itu, pihak penguat kuasa juga memastikan kedudukan bendera Johor dan Jalur Gemilang diperbetulkan mengikut susunan yang betul, dengan pemantauan bersama oleh anggota MPPn serta polis.

“Pemasangan bendera bukan sahaja melambangkan kedaulatan negara, tetapi juga mencerminkan semangat patriotisme. Kesilapan seperti ini, walaupun mungkin berlaku tanpa sengaja, tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh sensitiviti rakyat, apatah lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” kata MPPn.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg