Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis terima 38 laporan bendera M’sia dikibar terbalik

Aug 14, 2025 | 3:01 PM
Malaysia, bendera, Jalur Gemilang, terbalik
Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 38 laporan berhubung pengibaran bendera Malaysia atau dinamakan Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial di serata negara itu.

Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata 17 laporan daripada keseluruhan kes itu diterima di Pulau Pinang, manakala 21 lagi di negeri lain.

Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan terhadap individu yang merakam serta menyebarkan rakaman berkenaan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Satu kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya (DPP) Pulau Pinang pada 11 Ogos lalu dan kini dalam penelitian pihak berkenaan.

“PDRM memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, pada 14 Ogos, lapor Harian Metro.

Selain itu, beliau berkata PDRM turut mengambil maklum mengenai himpunan yang dijadualkan berlangsung di Bertam, Kepala Batas, pada 14 Ogos.

Beliau menasihatkan semua pihak membatalkan perhimpunan itu bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara serta mengelakkan sebarang bentuk pertembungan tidak sihat antara kumpulan bertentangan.

“PDRM sentiasa komited melaksanakan siasatan secara telus, berintegriti dan mengikut peruntukan undang-undang demi memelihara keamanan serta keharmonian masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan, sebaliknya menyalurkan maklumat sahih kepada pihak polis,” katanya.

Difahamkan, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, bersama Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang akan mengadakan satu himpunan di Kepala Batas pada 5 petang 14 Ogos, dipercayai berkaitan isu bendera terbalik yang dikatakan bertujuan menyebarkan mesej perpaduan.

Semakan di Facebook rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka itu pada 14 Ogos, terdapat catatan berbunyi “Kami datang nak tengok bendera besar dan makan nasi kandar saja,” katanya sambil memetik laporan akhbar mengenai gesaan PDRM supaya pihaknya membatalkan himpunan itu.

Pada 9 Ogos lalu, media Malaysia melaporkan pemilik premis perkakasan memohon maaf kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan mengakui kesilapannya mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara itu.

Kejadian itu tular selepas rakaman selama 21 saat memaparkan pemilik kedai berusia 59 tahun mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang besi sebelum seorang pekerjanya merakam aksi berkenaan.

Perbuatan itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang mahu tindakan diambil kerana kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg