SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lampu isyarat pintar atasi kesesakan trafik di Johor Bahru

Lampu isyarat pintar atasi kesesakan trafik di Johor Bahru

Apr 21, 2026 | 1:13 PM

Lampu isyarat pintar atasi kesesakan trafik di Johor Bahru

Lampu isyarat pintar, kesesakan trafik, Johor Bahru
Pelaksanaan projek ‘Smart Traffic Light’ (TrafficSens) itu merupakan langkah progresif bagi menangani masalah masa perjalanan yang semakin panjang, tekanan di jalan raya dan kesukaran rakyat mengurus rutin harian. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

JOHOR BAHRU: Sebanyak 337 persimpangan lampu isyarat dan 41 lintasan pejalan kaki di kawasan Greater Johor Bahru akan dinaik taraf.

Naik taraf ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar raya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pelaksanaan projek Smart Traffic Light (TrafficSens) itu merupakan langkah progresif bagi menangani masalah masa perjalanan yang semakin panjang, tekanan di jalan raya dan kesukaran rakyat mengurus rutin harian.

Menurut beliau, isu kesesakan trafik memberi kesan kepada mutu hidup rakyat, justeru memerlukan pendekatan yang lebih pintar dan berkesan.

Sistem lampu isyarat pintar itu mampu menyesuaikan operasi lampu secara masa nyata dengan mengesan kepadatan kenderaan, mengawal peringkat lampu secara dinamik serta memberi keutamaan kepada laluan tertentu termasuk kenderaan kecemasan.

“Semua ini disokong dengan sistem pemantauan berpusat dan papan pemuka trafik pintar yang membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data sebenar di lapangan.

“Pelaksanaan projek ini juga melibatkan pemasangan ratusan kamera kecerdasan buatan dan pembangunan infrastruktur sokongan secara berfasa,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 April.

Encik Mohamad Fazli berkata walaupun terdapat kekangan seperti struktur jalan sedia ada dan kesesakan di beberapa lokasi, kerajaan negeri komited memastikan setiap cabaran ditangani dengan perancangan teliti demi hasil terbaik kepada rakyat.

Menurut beliau, usaha itu dijangka memberi impak besar kepada kelancaran trafik, keselamatan jalan raya dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kita untuk membawa Johor Bahru ke arah bandar pintar yang moden, mampan dan lebih selesa untuk didiami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Larkin Sentral kini dalam usaha dinaiktaraf ke arah penarafan Gred A menerusi pelbagai kerja naik taraf dan pemodenan terminal.

Usaha ini dilakukan menerusi pelbagai kerja naik taraf dan pemodenan terminal.

Encik Mohamad Fazli berkata usaha ini bukan sekadar membabitkan naik taraf fizikal. Sebaliknya, ia menjadi lonjakan besar ke arah terminal moden, cekap dan berdaya saing.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk penyediaan platform berbumbung, ruang khas pemandu serta sistem keselamatan yang lebih baik.

Peruntukan sebanyak RM2.5 juta ($804,851) daripada kerajaan negeri disediakan untuk tujuan ini.

Kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif Terminal Hijau dan Pintar.

Inisiatif ini melibatkan penggunaan teknologi seperti bumbung solar, pengecas kenderaan elektrik dan sistem pengurusan digital yang lebih pintar.

Beliau berkata semua usaha ini selari dengan aspirasi Johor untuk bergerak ke arah pembangunan mampan dan ekonomi rendah karbon.

“Dengan usaha bersepadu semua pihak, kita bukan sahaja mampu mencapai Gred A, tetapi juga membina sebuah terminal yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, lebih selesa, lebih cekap dan lebih lestari untuk masa depan,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg