Plus jangka 2.2 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri
Plus jangka 2.2 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri
Johor pertingkat persediaan lebuh raya selatan, lancar perjalanan balik kampung
Lebuh raya di wilayah selatan dijangka menerima lonjakan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini (2026), sekali gus mendorong pelbagai langkah persediaan diperkukuh bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata beliau mempengerusikan mesyuarat bersama Plus Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi meneliti persediaan operasi lebuh raya.
Menurutnya, peningkatan trafik yang ketara adalah perkara biasa setiap kali musim perayaan apabila orang ramai pulang ke kampung halaman.
“Tahun ini, rangkaian PLUS dijangka merekodkan sekitar 2.2 juta kenderaan sehari, manakala Lebuhraya Pantai Timur 2 pula dianggarkan menerima kira-kira 66,000 kenderaan sehari,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Mac.
Beliau berkata bagi memastikan kelancaran perjalanan, beberapa langkah telah disusun termasuk pengaktifan 67 pasukan PlusRonda bagi membantu pengguna lebuh raya.
Menurutnya, pemantauan trafik turut diperkukuh melalui kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain pelaksanaan SmartLane di lokasi tertentu.
Encik Mohamad Fazli berkata seramai 360 petugas akan ditempatkan di plaza tol dengan 287 lorong tol beroperasi bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.
Selain itu, katanya, sebanyak 18 kios tambah nilai turut disediakan bagi memudahkan pengguna lebuh raya membuat tambah nilai kad tol.
Beliau berkata kemudahan tambahan seperti lapan unit tandas kabin dan enam unit tangki air juga disediakan di sepanjang jajaran lebuh raya selatan bagi menampung keperluan pengguna.
Dalam masa sama, pengguna lebuh raya digalakkan merancang perjalanan menggunakan MyPlus Travel Time Advisory (TTA) bagi mengagihkan aliran trafik mengikut waktu yang disyorkan.
Menurutnya, langkah itu dapat membantu mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.
Beliau berkata kerjasama anggota Rela turut diperkukuh bagi membantu pengurusan tempat letak kenderaan di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R).
“Dengan persediaan awal serta kerjasama semua pihak, kita berharap perjalanan rakyat sempena Aidilfitri kali ini dapat berlangsung dengan lebih lancar, selamat dan selesa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

