Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lans koperal dituduh curi barang kemas mayat di KL

Nov 22, 2024 | 3:24 PM
Lans Koperal Mohd Alifah Mohd Sapie, 35 tahun (depan), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 22 November, atas tuduhan mencuri barang kemas wanita wanita yang meninggal dunia.
Lans Koperal Mohd Alifah Mohd Sapie, 35 tahun (depan), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 22 November, atas tuduhan mencuri barang kemas wanita wanita yang meninggal dunia. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 22 November atas tuduhan mencuri dua barangan kemas daripada jasad seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta, pada Oktober.

Tertuduh, Mohd Alifah Mohd Sapie, 35 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M S Arunjothy.

Mengikut tuduhan, bapa lima anak itu didakwa mencuri seutas rantai leher dan gelang tangan milik si mati, Allahyarhamha Nur Farhana Nisha Syazwan, 26 tahun, dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 2.40 pagi, 1 Oktober.

Majistret Arunjothy kemudian membenarkan ikat jamin RM3,500 ($1,048) dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Januari 2025, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, media Malaysia melaporkan bapa Allahyarham, Encik Syazwan Abdullah, 59 tahun, mendakwa barang kemas dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di tempat letak kereta dekat kondominium di Setapak pada 1 Oktober lalu, hilang.

Encik Syazwan, yang juga pesara polis, dilapor berkata beliau dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anaknya yang berusia 26 tahun itu berhubung penemuan mayat itu pada awal pagi 1 Oktober.

Difahamkan anaknya ditemukan anggota polis peronda yang membuat rondaan selepas menyedari kereta Proton Saga dinaiki Allahyarhamha diletakkan di kawasan terbabit dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup dan lampu menyala.

Sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Banting, Selangor, Encik Syazwan terdetik untuk mencari rantai, loket serta gelang emas pemberian nenek serta kakak Allahyarhamha.

Susulan pendedahan bapa mangsa, empat anggota polis ditahan berhubung kehilangan barang kemas milik wanita yang meninggal dunia dalam kereta.

Kes itu turut mengundang kemarahan Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, yang menyifatkan tindakan mencuri barang kemas daripada jasad yang sudah tidak bernyawa adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Perbuatan ini sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa saja terbabit dalam jenayah seumpama ini,” katanya pada 22 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg