SABAK BERNAM: Keterujaan seorang tukang jahit menyiapkan baju Raya untuk dijual kepada pelanggan bertukar duka apabila sebahagian daripada lapan gulung kain yang digunakan musnah akibat ribut yang melanda Taman Ria, Sekinchan, pada 11 Mac.
Cik Aidilfitri Aini Shahdan, 48 tahun, berkata, semua gulung kain yang dibelinya di sebuah gedung tekstil itu dianggarkan bernilai RM6,800 ($2,052.50).
Menurutnya, setiap tahun beliau menyediakan baju Raya siap untuk dibeli pelanggan termasuk tempahan khas mengikut reka bentuk dan saiz yang dimahukan.
“Tak sangka tahun ini saya diduga apabila kain yang dibeli basah dan kotor akibat ribut.
“Jika ditanya tentang perasaan, saya akui memang sedih dan terkilan tapi saya tetap reda serta percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya,” luahnya kepada laman Sinar Harian.
Cik Aidilfitri Aini berkata, selain lapan gulung kain itu, sebanyak 30 helai pakaian tempahan pelanggan turut rosak, manakala sebahagiannya diterbangkan angin.
“Ada pelanggan yang sudah membayar deposit 10 peratus untuk tempahan baju raya mereka,” katanya.
Mengimbau ribut yang melanda rumahnya itu, Cik Aidilfitri Aini memberitahu kejadian berlaku ketika beliau dan suaminya, Encik Mohemmed Shukri Chandraneru Abdullah, 49 tahun, tiada di rumah kerana mengambil anak mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Anak mereka baru pulang dari Singapura.
“Tiga daripada empat anak kami turut serta ke KLIA dan hanya dimaklumkan kejadian ini oleh jiran.
“Apabila sampai di rumah, kami dapati bumbung rosak teruk dan air hujan memenuhi ruang dalam rumah.
“Saya dapat, siling dan lantai basah, malah dinding papan asbestos juga mula reput,” tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, beliau dan suami mencari jalan penyelesaian dengan menjual pakaian yang masih boleh diselamatkan pada harga serendah antara RM5 hingga RM50 kepada pelanggan bagi mengurangkan beban yang dihadapi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg