Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramadan bulan duka buat gelandangan di KL

Mar 10, 2025 | 4:25 PM
Kawasan selesa disediakan untuk golongan gelandangan di Kuala Lumpur berkumpul untuk menunaikan solat tarawih.
Kawasan selesa disediakan untuk golongan gelandangan di Kuala Lumpur berkumpul untuk menunaikan solat tarawih. - Foto FACEBOOK MOHD NA’IM MOKHTAR

KUALA LUMPUR: Di sebalik kemeriahan bazar Ramadan dan suasana perayaan di Kuala Lumpur, realiti berbeza menyelubungi kehidupan suram golongan gelandangan di ibu negara Malaysia itu.

Bagi golongan itu, Ramadan bukan sekadar bulan menjalani ibadah puasa, tetapi waktu untuk merenung kepayahan mereka mengharungi liku-liku kehidupan sebagai gelandangan.

Encik Mohd Ibrahim Daud, 41 tahun, yang sudah enam tahun menghabiskan usia bergelandangan di kaki lima, Ramadan membawa perasaan rindu yang mendalam buat dirinya.

“Dulu Ramadan cukup bermakna bagi saya kerana dapat berkumpul bersama keluarga, solat dan menikmati juadah berbuka puasa yang istimewa.

“Kini ia lebih kepada bagaimana untuk meneruskan hidup, mendapatkan makanan, minuman dan tempat berlindung,” katanya sambil duduk beralaskan konkrit di bawah jejantas di Chow Kit, Kuala Lumpur, lapor Harian Metro.

Luahan Encik Mohd Ibrahim itu, satu daripada cebisan kisah mereka yang tinggal di kaki lima Kuala Lumpur, tanpa tempat berteduh dan bergelumang kesukaran terutama semasa Ramadan, tatkala insan lain berkumpul menikmati pelbagai juadah berbuka puasa.

Namun, di sebalik segala cabaran itu, semangat kemasyarakatan dan keikhlasan jelas terpancar, apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama masyarakat setempat berganding bahu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pengerusi Pertubuhan Jejak Jalanan (PJJ), Cik Shahdattul Olivia Ferranee Imelda Taib, 44 tahun, berkata program Ramadan anjuran mereka bukan sekadar menyantuni golongan gelandangan, malah membuka ruang bagi mereka untuk merasai keindahan serta keberkatan bulan suci ini dengan lebih bermakna.

Beliau berkata sepanjang Ramadan PJJ mengagihkan kira-kira 200 bungkusan makanan setiap hari, selain menyediakan kawasan yang selesa untuk mereka berkumpul menunaikan solat tarawih.

“Ada sebahagian daripada mereka segan untuk menunaikan solat di masjid atau surau kerana kekurangan yang ada.

“Jika mereka tidak dapat ke masjid, kami sediakan ruang yang selesa untuk mereka menunaikan kewajipan sambil merasakan mereka juga dihargai. Kami ingin mereka menikmati indahnya Ramadan sama seperti insan yang lain,” katanya.

Sementara itu, sukarelawan KomunitiKL, Cik Nurul Zayani Yahya, 34 tahun, berkata kehadiran mereka sedikit sebanyak meringankan beban dan memberi secebis kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kemiskinan dalam menjalani kehidupan sepanjang Ramadan ini.

“Sepanjang Ramadan, kami ada menerima laporan mengenai beberapa golongan asnaf yang terdesak sehingga mahu membunuh diri. Syukur, kami dapat membantu dan menyelamatkan mereka,” katanya.

Cik Nurul Zayani turut berkongsi kisah menyayat hati yang berlaku pada minggu pertama Ramadan, apabila seorang bapa yang tertekan kerana kesukaran mendapatkan makanan untuk keluarganya cuba membunuh diri.

“Dia buntu dan tidak tahu ke mana hendak dituju untuk mendapatkan makanan berbuka. Alhamdulillah, kami sempat membantunya dan kini beliau kerap mengunjungi pusat kami untuk solat dan mendapatkan bantuan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg