Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan akhir nahas pesawat di Selangor: Juruterbang bawa agresif, tahap alkohol tinggi

Apr 10, 2025 | 12:10 PM
Serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel dikeluarkan oleh anggota Biro Siasatan Kemalangan Trafik Udara (BSKU).
Serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel dikeluarkan oleh anggota Biro Siasatan Kemalangan Trafik Udara (BSKU). - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Juruterbang pesawat Blackshape Gabriel BK 160TR yang terhempas di Kapar, Selangor, pada 2024 didapati melakukan gerakan penerbangan agresif melebihi had kemampuan pesawat, menurut laporan akhir kemalangan itu.

Hal itu menyumbang kepada beban berlebihan yang menjejas kekukuhan struktur pesawat, justeru membawa kepada pemisahan bahagian ketika penerbangan.

“Kegagalan dan pemisahan bahagian struktur ketika penerbangan akibat tekanan operasi berlebihan pada bahan komposit pesawat yang lemah, dikenal pasti sebagai punca utama nahas pesawat terbabit.

“Kekukuhan struktur pesawat terjejas oleh operasi berulang di luar had operasi penerbangan yang diluluskan, termasuk melebihi kelajuan udara maksimum, faktor beban dan had struktur yang memberi tekanan tidak wajar pada strukturnya,” menurut laporan akhir kemalangan pesawat berkenaan yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia pada 10 April.

Selain itu, pemasangan bahagian yang tidak diperakui, terutamanya ‘tie-down rings’, melemahkan lagi kekukuhan pesawat dan menyumbang kepada kegagalan itu, menurut laporan tersebut yang diterbitkan di laman web rasmi MOT, lapor Harian Metro.

Laporan setebal 204 muka surat itu memaklumkan beberapa faktor yang menyumbang kepada nahas berkenaan iaitu prestasi juruterbang, penyelenggaraan pesawat, kegagalan organisasi dan pengawasan operasi.

“Pesawat itu menjalani amalan penyelenggaraan yang tidak diluluskan, termasuk pemasangan alat ganti yang tidak diperakui oleh kakitangan yang tidak berkelayakan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat, menjadikannya lebih terdedah kepada kegagalan ketika penerbangan,” menurut laporan itu yang turut menyatakan tiada penumpang boleh selamat daripada nahas tersebut susulan daya nyahpecutan yang besar semasa impak.

Sementara itu, dapatan lain menunjukkan kepekatan alkohol dalam darah (BAC) juruterbang terlibat ialah 0.032 peratus iaitu melebihi had yang dibenarkan undang-undang (0.02 peratus) yang mungkin menjejaskan prestasi juruterbang semasa penerbangan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam laporan sama mencadangkan untuk melaksanakan langkah dipertingkat bagi meneliti operasi penerbangan tidak berjadual di Malaysia, khususnya melibatkan pesawat yang didaftarkan di luar negara dan kru pesawat berlesen asing.

Pada 13 Februari 2024, pesawat Blackshape Gabriel BK 160TR yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor, ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan rekreasi.

Dalam kejadian pada 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor, dan ditemui musnah serta dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu terkorban.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg