KUALA LUMPUR: Malaysia telah meluluskan perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity untuk membolehkan pencarian baru serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.
Susulan persetujuan Kabinet dengan terma dan syarat yang ditetapkan syarikat penerokaan marin yang berpangkalan di Britain itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata kementerian itu akan mewakili Putrajaya dalam menandatangani perjanjian pencarian.
Dalam satu kenyataan pada 19 Mac, Encik Loke berkata perjanjian itu akan menyaksikan permulaan operasi pencarian laut dalam untuk mengesan MH370 di lokasi baru yang dianggarkan meliputi kawasan kira-kira 15,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi.
Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
“Bayaran sejumlah AS$70 juta (RM309.7 juta/$92.95 juta) akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai.
“Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup (closure) bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370,” tambah Encik Loke, lapor Malaysiakini.
Pada awal Mac lalu, Kementerian Pengangkutan berkata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia telah melantik wakil bertauliah untuk memberikan sokongan teknikal kepada misi itu.
Penerbangan MH370, sebuah Boeing 777, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014, hilang secara misteri daripada radar selepas hanya dua jam berlepas.
Pesawat itu yang dilaporkan terhempas di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi masih hilang sehingga kini.
Hanya serpihan bangkai pesawat itu ditemui hanyut di pelbagai pantai, manakala bahagian utama pesawat, penumpang serta perakam data penerbangan masih belum ditemui.
Untuk rekod, pada 2018, Ocean Infinity memulakan pencarian ‘no find, no fees’ (tiada penemuan, tiada bayaran) selama tiga bulan, meliputi kira-kira 112,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, namun tiada sebarang bukti ditemui.
Pada Februari lalu, Encik Loke mengesahkan kerajaan Malaysia memberi kelulusan prinsip dan dalam proses memuktamadkan kontrak untuk ditandatangani.
Ocean Infinity memberi jaminan pencarian mereka adalah berdasarkan penyelidikan dan data daripada pelbagai pakar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg