KUALA LUMPUR: Anggaran kos prasarana bagi projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura meningkat RM1.207 bilion ($350 juta) kepada RM5.245 bilion hingga 31 Disember 2023, daripada RM4.038 bilion kos asal pada Januari 2018.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Malaysia yang dikeluarkan pada 4 Julai mendedahkan semakan audit mendapati peningkatan 29.9 peratus itu antaranya disebabkan penambahan skop kerja depoh daripada penyenggaraan ringan kepada penyenggaraan berat, kontrak baru Skim Penyuraian Trafik dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Selain itu, kerja prasarana tambahan bagi fakad atau muka, bangunan, ikonik dan struktur estetika jejambat, kos tambahan serahan tanah, serta kos infrastruktur tambahan bagi pembinaan tempat letak kenderaan dan cerucuk tambahan di Kompleks CIQ menjadi penyebab kenaikan kos.
“Penyaluran sumbangan kerajaan bagi projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) dan projek RTS Link telah dibelanjakan mengikut projek infrastruktur awam yang diluluskan.
“Bagaimanapun, peningkatan kos projek boleh mempengaruhi kedudukan kewangan semasa kerajaan berbanding manfaat kepada pemegang taruh dan nilai terbaik terhadap projek,” lapor Berita Harian Malaysia menukil LKAN.
Projek RTS Link adalah rangkaian tren ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, merangkumi laluan di antara dua stesen, iaitu satu di Bukit Chagar, Johor Bahru, dan satu di Woodlands North, Singapura.
Maklum balas daripada pemaju projek dan pemilik aset, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), menyatakan peningkatan kos projek tidak dapat dielakkan ekoran kesan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan kenaikan harga bahan mentah di seluruh dunia.
Terdapat juga perubahan skop bagi memastikan penyelesaian trafik secara menyeluruh serta kos pengambilan tanah.
Pada 24 Julai 2020, kerajaan Malaysia bersetuju membiayai pembangunan projek RTS Link menggunakan Perbelanjaan Pembangunan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) dan diselaraskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Klausa 10.1 Perjanjian Pengurusan dan Pembangunan Projek (PDMA) menetapkan kerajaan hendaklah membiayai pembangunan prasarana RTS Link mengikut anggaran kos projek, iaitu RM5.245 bilion, yang dinyatakan dalam klausa 6.3.
Penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara suku tahunan berdasarkan permohonan Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) – anak syarikat MRT Corp yang merupakan pemaju dan pemilik prasarana awam untuk bahagian Malaysia bagi projek RTS Link.
Semakan audit turut mendapati hingga 31 Disember 2023, MOT telah menyalurkan secara suku tahunan sejumlah RM1.944 bilion, atau 37.1 peratus, daripada keseluruhan sumbangan yang diluluskan, iaitu RM5.245 bilion, kepada MRTS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg