Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaburan asing di M’sia capai RM150.8b dalam 9 bulan pertama 2025

S’pura kekal sebagai pelabur asing terbesar dan utama dengan komitmen RM52.7 bilion, diikuti China dan Amerika Syarikat
Nov 18, 2025 | 12:19 PM
pelaburan, Malaysia, naik
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Foto MALAYMAIL

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat peningkatan 47.5 peratus dalam pelaburan asing bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, mencapai RM150.8 bilion ($47.34 bilion) dan jauh mengatasi trend serantau.

Demikian menurut laporan terkini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Menurut Mida, minat asing yang kukuh, dipacu lonjakan 122 peratus dalam sektor perkhidmatan, mendorong jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia berjumlah RM285.2 bilion merangkumi semua sektor, meningkat 13.2 peratus berbanding 2024.

Mida berkata sektor perkhidmatan mencatat prestasi cemerlang, menarik pelaburan berjumlah RM187.9 bilion, dengan aliran masuk asing menyumbang bahagian yang signifikan.

Sektor pengilangan turut mencatat penglibatan asing yang kukuh, dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM73.1 bilion, hampir 78 peratus daripada jumlah sektor tersebut. 

Projek utama dalam industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik dan mineral menekankan peralihan strategik Malaysia ke rantaian nilai yang lebih tinggi. 

“Singapura kekal sebagai pelabur asing terbesar dan utama dengan komitmen RM52.7 bilion, diikuti China (RM35.8 bilion); Amerika Syarikat (RM11.3 bilion); British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Jepun (RM4.8 bilion).

“Daripada segi geografi, negeri-negeri utama di Malaysia mendapat manfaat daripada inisiatif ekonomi yang disasarkan,” ujar Mida dalam laporan MalayMail pada 18 November.

Johor terus memanfaatkan hubungan rentas sempadan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), manakala Pulau Pinang dan Kedah menarik projek semikonduktor dan elektronik canggih, mengukuhkan koridor teknologi tinggi di wilayah utara.

Dua negeri di bawah wilayah Koridor Tengah, Selangor dan Kuala Lumpur, terus meraih manfaat daripada prasarana mantap serta peranan mereka sebagai pusat komersial dan kewangan negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata prestasi kukuh itu menunjukkan pelabur antarabangsa kian yakin memilih Malaysia kerana kestabilan dan kepastian jangka panjangnya.

“Apabila pelabur dunia melihat Asia Tenggara, mereka semakin memilih Malaysia. Kita bukan hanya bersaing dalam Asean, bahkan kita juga menetapkan penanda aras.

“Pelaksanaan tumpuan misi utama di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menarik pelaburan, sambil menyediakan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran untuk memperkuat peralihan kita kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan bernilai tinggi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, menambah bahawa senarai projek dirancang dan menunggu pelaksanaan yang kukuh dan mudah telah memperkasa kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg