Kerajaan Johor terus memperkukuh peranan Larkin Sentral sebagai nadi pengangkutan utama di selatan tanah air melalui pelbagai penambahbaikan kemudahan asas dan sistem perkhidmatan.
Ini bagi memastikan keselesaan serta kelancaran urusan ribuan pengguna setiap hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata usaha naik taraf itu memberi tumpuan kepada penyusunan sistem pembelian tiket yang lebih mesra pengguna.
Ini selain meningkatkan kemudahan sokongan untuk penumpang.
Menurutnya, pengguna kini mempunyai tiga pilihan utama untuk mendapatkan tiket perjalanan, iaitu melalui kaunter secara bersemuka, tempahan dalam talian serta penggunaan kios layan diri yang berkonsepkan urusan pantas dan ringkas.
“Pendekatan berbilang saluran ini bertujuan mengurangkan kesesakan, menjimatkan masa dan memberi fleksibiliti kepada penumpang merancang perjalanan mengikut keperluan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Januari.
Selain sistem tiket, kemudahan sokongan di Larkin Sentral turut dipertingkatkan bagi memastikan keselesaan pengguna sementara menunggu ketibaan bas, teksi atau perkhidmatan e-hailing (menempah kereta dalam talian).
“Antara kemudahan yang terus diberi perhatian termasuk surau, tandas yang lebih terurus, kedai runcit, medan selera serta ruang menunggu yang lebih praktikal dan selesa untuk semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Encik Fazli berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat soal kecekapan, keselamatan dan keselesaan pengguna agar setiap perjalanan rakyat bermula dalam keadaan lebih teratur dan yakin.
Dalam masa yang sama, beliau mengakui isu pengangkutan di Larkin Sentral bukan perkara kecil kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan ribuan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan bas untuk bekerja, menuntut ilmu serta mengurus keperluan keluarga.
Beliau berkata pihaknya menerima pelbagai aduan berkaitan kelewatan bas dan jadual perjalanan yang tidak menentu, yang bukan sahaja menyusahkan malah menjejaskan emosi, pengurusan masa dan produktiviti harian pengguna.
“Hasil pemerhatian mendapati kelewatan itu kebanyakannya berpunca daripada kesesakan jalan raya, khususnya pada waktu puncak pergi dan pulang kerja serta musim cuti persekolahan.
“Selain itu, insiden kemalangan dan kerosakan kenderaan di lebuh raya turut dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menjejaskan ketepatan jadual perjalanan bas,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sistem sedia ada dipertingkatkan, termasuk pelaksanaan sistem pemantauan berasaskan sistem kedudukan geografi (GPS) bagi membolehkan pengguna mengetahui lokasi serta pergerakan bas secara masa nyata.
“Langkah ini diyakini mampu meningkatkan ketelusan perkhidmatan dan mengurangkan keresahan penumpang ketika menunggu.
“Pada masa sama, penambahbaikan penyuraian trafik di Johor Bahru terus diberi keutamaan dengan kerajaan negeri giat merancang dan memperhalusi langkah kebolehlaluan di beberapa kawasan dikenal pasti.
“Antara tindakan yang sedang dan telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan, selain pengurusan penutupan serta pembukaan jalan bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.
Encik Fazli juga berkata bahawa beliau yakin segala usaha dan tindakan yang sedang digerakkan itu akan membawa manfaat besar kepada orang ramai, khususnya dalam memastikan sistem pengangkutan di Johor Bahru lebih lancar, tersusun dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg