Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Exco: Gangguan pintu automatik di pusat pemeriksaan Johor selesai, operasi kembali normal

Punca gangguan penyebab sebahagian besar eGate di CIQ Bangunan Sultan Iskandar tidak berfungsi 48 jam sejak 10 Jan belum dipastikan
Jan 12, 2026 | 3:59 PM
eGate, pusat pemeriksaan Johor, gangguan
Gangguan teknikal pintu automatik di pusat pemeriksaan darat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, sejak 10 Januari, dilaporkan sudah kembali pulih. - Foto FACEBOOK AGENSI KAWALAN DAN PERLINDUNGAN SEMPADAN MALAYSIA

JOHOR BAHRU: Gangguan teknikal yang melibatkan semua sistem pintu automatik atau eGate di kededua pintu masuk darat Malaysia dengan Singapura telah dibaiki dan kembali beroperasi, namun punca gangguan belum dapat dipastikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata gangguan eGate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, telah kembali beroperasi seperti biasa sejak lewat malam 11 Januari.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum jelas punca gangguan yang menyebabkan sebahagian besar eGate di kedua-dua pintu masuk di CIQ BSI itu tidak berfungsi selama kira-kira 48 jam sejak 10 Januari, lapor The Star.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI dalam kemas kini di Facebook menyatakan pada 10.25 malam 11 Januari, situasi trafik di Kompleks CIQ BSI terkawal dan tiada kesesakan luar biasa di dewan penumpang, walaupun pelepasan pengembara di laluan eGate bergerak perlahan.

Dalam kejadian pada 10 Januari, ribuan warga asing terpaksa beratur panjang di dua pusat pemeriksaan darat Malaysia dengan Singapura susulan gangguan teknikal yang menyebabkan kebanyakan pintu automatik imigresen tergendala pada 10 Januari.

Yang paling teruk terjejas ialah CIQ BSI, dengan warga asing terpaksa menunggu hingga dua jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen.

CIQ BSI di Johor Bahru mempunyai 39 pintu automatik untuk masuk dan 29 untuk keluar, manakala Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua mempunyai sejumlah 12 pintu automatik.

Masalah gangguan teknikal itu hanya menjejas pemegang pasport asing kerana pemegang pasport Malaysia atau mereka yang menggunakan kenderaan persendirian atau motosikal tidak terjejas, memandangkan mereka tidak melalui eGate.

Gangguan teknikal sistem itu menjejas mereka yang melalui dewan bas di mana eGate digunakan.

Difahamkan pada hujung minggu, BSI memproses lebih 180,000 pemeriksaan dan pelepasan warga asing untuk kedua-dua hala, manakala di KSAB, mereka boleh memproses kira-kira 50,000 pelepasan warga asing.

AKPS turut menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan di BSI bagi membantu menguruskan kesesakan, menyusuli masalah teknikal berterusan yang menjejas sistem eGate, termasuk membuka lorong khas bagi memudahkan dan mempercepatkan proses imigresen untuk pengembara asing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg