Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lat: Teknologi boleh bantu, tapi bakat dan kreativiti tetap penentu

Kartunis sekarang hadapi cabaran komik digital teknologi AI yang mampu hasilkan karya secara automatik
Nov 1, 2025 | 5:30 AM
Datuk Lat
Kartunis terkenal Malaysia, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat bersama Watikah Gelaran Seniman Diraja yang dianugerahkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 5 November 2023. - Foto BERNAMA

Dalam dunia seni kreatif Malaysia, Datuk Lat atau nama sebenarnya, Mohd Nor Khalid amat sinonim dengan siri watak kartun yang membentuk identiti budaya negara. 

Pelukis dan kartunis berusia 74 tahun itu adalah pencipta siri komik ikonik Kampung Boy, yang menggambarkan kehidupan kanak-kanak di kampung Malaysia pada era tahun 1960-an dan 1970-an.

Beliau bukan saja seorang kartunis, malah Datuk Lat adalah penggubah cerita budaya Malaysia, yang karyanya turut diterjemahkan ke dalam bentuk buku komik dan animasi televisyen, yang bukan saja dihormati generasi seangkatannya, tetapi juga dikagumi dan dihargai kalangan generasi muda. 

Pada 2024 lalu, Datuk Lat melakar kemanisan yang tidak pernah dijangkanya dalam kerjaya seni kreatif diceburinya berdekad lalu, apabila beliau dianugerahkan Seniman Negara Kesembilan – penghormatan tertinggi kerajaan Malaysia kepada penggiat seni atas sumbangan mereka dalam kesenian tempatan dan antarabangsa.

Malah, Datuk Lat turut diberi penghormatan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang mengiktiraf beliau sebagai Seniman Diraja pada 2023, atas peranan dan sumbangan besarnya dalam bidang seni kreatif kepada negara.

Kartunis prolifik Malaysia, Datuk Lat atau nama sebenarnya, Mohd Nor Khalid, dianugerahkan Anugerah Seniman Negara Kesembilan pada 2024, satu pencapaian tertinggi daripada kerajaan bagi mengiktiraf penggiat seni dan budaya.
Kartunis prolifik Malaysia, Datuk Lat atau nama sebenarnya, Mohd Nor Khalid, dianugerahkan Anugerah Seniman Negara Kesembilan pada 2024, satu pencapaian tertinggi daripada kerajaan bagi mengiktiraf penggiat seni dan budaya. - Foto BERNAMA

Komik Kampung Boy hasil nukilan Datuk Lat mula diterbitkan pada 1979, diikuti oleh Town Boy dan siri lain yang menceritakan kenangan zaman kanak-kanak Datuk Lat dan rakan-rakannya di kampung.

Karya ini bukan saja menghibur, tetapi juga menjadi medium pendidikan budaya, membolehkan pembaca memahami kehidupan masyarakat Melayu tradisional.

Malah, Kampung Boy mendapat perhatian dunia seni antarabangsa apabila ia turut diterjemahkan ke dalam sekurang-kurangnya 15 bahasa termasuk Sepanyol, German, Perancis dan Jepun, untuk pasaran di negara terbabit.

Karya Kampung Boy beliau diadaptasi menjadi animasi televisyen yang disiarkan di Astro pada 1996-1997 sebanyak 26 episod, menjadikan watak-watak ceria dan penuh warna dalam komik itu dikenali ramai dan ia masih ditayangkan sehingga kini.

CABARAN KARTUNIS DALAM ERA DIGITAL DAN AI

Namun, berbeza pada zaman ‘emas’ beliau yang mana kertas dan pensel menjadi teman akrab untuk menghasilkan karya, beliau sedar dunia kartun kini menghadapi cabaran baru. 

Bercakap tentang perkembangan dunia komik hari ini, Datuk Lat mengakui bahawa kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) membawa cabaran tersendiri.

Dengan kemunculan komik digital mahupun teknologi AI, penggiat seni muda kini bersaing bukan saja dengan kreativiti pengkarya lain, bahkan teknologi yang mampu menghasilkan karya secara automatik dan sekelip mata.

“Bagi saya sebagai penggiat seni, kita mesti bersedia untuk apa saja. Mahu atau tidak, mereka kena mengikut perubahan arus dan saya percaya karyawan baru sudah mengadaptasi peredaran zaman dan perubahan kemajuan teknologi.

“Tetapi jauh lebih penting ialah bagaimana kita beradaptasi dengan teknologi itu untuk menghasilkan karya terbaik,” kata Datuk Lat berkongsi pandangannya bersama Berita Harian (BH). 

Namun, Datuk Lat mengakui beliau sendiri lebih selesa dengan cara tradisional menggunakan kertas dan pensel, kerana cara itu membolehkan ekspresi kreatif secara fizikal dan peribadi.

“Saya ada cuba belajar teknologi untuk menghasilkan kartun dengan anak buah, tetapi mungkin kerana faktor usia yang semakin lanjut, amat sukar untuk saya kuasainya,” katanya sambil ketawa.

Datuk Lat, yang memulakan kerjaya seni kreatif seawal usia 13 tahun dengan komik terbitan pertamanya Tiga Sekawan, juga menyedari cabaran ekonomi buat kartunis zaman sekarang. 

“Dulu, lukisan boleh dijual contohnya melalui akhbar. Kini, kebanyakan pembaca mengakses media digital melalui telefon. Kalau hanya untuk disiarkan di media sosial, bagaimana mahu kerjaya ini jana pendapatan tetap? 

“Jadi saya nampak cabaran untuk cari makan melalui melukis semakin berbeza,” ujarnya lagi.

Begitu pun, Datuk Lat menekankan bahawa masa depan kartunis masih luas, terutama dalam bidang animasi, yang penghasilannya memerlukan kerjasama berkumpulan. 

“Kreativiti, bakat, dan pengalaman tetap menjadi elemen penting, manakala teknologi hanyalah alat bantu, bukan pengganti kreativiti manusia,” kongsinya.

AKTIVITI TERKINI DAN GALERI RUMAH LAT

Walaupun buku komik karyanya kini tidak dikeluarkan lagi selepas pandemik Covid-19 pada 2020, jauh di sudut hati Datuk Lat berharap ia dapat diterbitkan semula, walaupun bukan dalam skala besar atau mega seperti sebelumnya.

Pada usia semakin lanjut dan cabaran kesihatan, Datuk Lat masih cuba aktif mengisi masa dengan memenuhi jemputan ceramah dan bengkel seni kreatif, berkongsi pengalamannya selama 60 tahun melukis, cara mendapatkan idea dan menyampaikan mesej melalui kartun kepada golongan muda dan generasi baru. 

Beliau juga terus melukis untuk projek korporat dan galeri, termasuk yang terkini iaitu memperbaharui ilustrasi maskot unta untuk kumpulan perbankan AmBank ciptaannya pada April lalu, yang telah menjadi identiti korporat bank itu selama beberapa dekad.

Dari segi sejarah, Datuk Lat telah ditugaskan untuk menghasilkan ilustrasi untuk iklan produk AmBank dari 1984 hingga 1991.

Selain itu, Galeri Rumah Lat, di Batu Gajah, Perak, dan mempamerkan sejarah, kejayaan dan hasil seni beliau menjadi medium untuk masyarakat, terutama generasi muda khususnya yang meminati bidang karikatur, untuk menghargai karya asal dan memahami proses kreatif di sebalik setiap ilustrasi. 

Pengunjung leka meneliti lukisan kartun karya Datuk Lat yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat di Batu Gajah, Perak.
Pengunjung leka meneliti lukisan kartun karya Datuk Lat yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat di Batu Gajah, Perak. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Ketika BH melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah baru-baru ini, pengunjung mengakui ia amat bermakna untuk generasi muda mengenali warisan Lat yang menjadi ikon dunia karikatur Malaysia sehingga berjaya menempa nama dan karyanya turut dikenali di luar negara.

Anggota tentera, Encik Muhammad Syazqi Zolkefli, 29 tahun, berkata kejayaan Datuk Lat patut menjadi inspirasi buat generasi muda terutama yang meminati bidang seni kreatif.

“Karya Datuk Lat sudah berusia puluhan tahun, tetapi ia masih diminati sehingga kini dan kita tidak pernah jemu menonton animasi Kampung Boy di televisyen, membuktikan bahawa hasil karya beliau dihasilkan dengan jiwa mendalam, bukan sekadar lukisan kartun di atas kertas,” katanya.

Peminat siri kartun Kampung Boy karya Datuk Lat, Syarifah Nadrah Syed Al-Aidid, 10 tahun (kiri).
Peminat siri kartun Kampung Boy karya Datuk Lat, Syarifah Nadrah Syed Al-Aidid, 10 tahun (kiri). - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Seorang pengunjung cilik, Syarifah Nadrah Syed Al-Aidid, 10 tahun, pula gembira dapat melihat sendiri di depan mata hasil lukisan dan komik Kampung Boy yang diminatinya, terutama watak Mat dalam kartun itu.

“Seronok dapat tengok lebih dekat lukisan kartun Datuk Lat. Saya minat siri kartun Kampung Boy kerana watak Mat dan suasana kampung yang ditunjukkan. Jika boleh saya pun mahu berjaya seperti Datuk Lat,” katanya sambil tersenyum. 

Rumah Lat yang yang dibina menggunakan kaedah seni bina tradisional turut dibina di Galeri Rumah Lat.
Rumah Lat yang yang dibina menggunakan kaedah seni bina tradisional turut dibina di Galeri Rumah Lat. - Foto LEMBAGA MUZIUM PERAK
Peminat siri kartun, Kampung Boy, karya Datuk Lat, boleh mengunjungi Galeri Rumah Lat, di Batu Gajah, Perak, untuk melihat pameran karya kartunis terkenal itu secara dekat.
Peminat siri kartun, Kampung Boy, karya Datuk Lat, boleh mengunjungi Galeri Rumah Lat, di Batu Gajah, Perak, untuk melihat pameran karya kartunis terkenal itu secara dekat. - Foto LEMBAGA MUZIUM PERAK

HARAPAN LAHIR LEGASI KARTUNIS

Walaupun Datuk Lat tidak cenderung mengadakan kelas belajar melukis atau menghasilkan karikatur, beliau berharap pengalaman dan kisah perjalanan seninya yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat dapat menyajikan inspirasi kepada kartunis muda yang ingin menjejaki bidang ini.

“Mungkin itu boleh menyumbang dalam melahirkan pelapis yang dapat meneruskan legasi kartunis tanah air,” katanya.

Namun Datuk Lat percaya bahawa legasi sebenar lahir daripada karya yang mampu hidup dengan sendirinya dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang. 

“Setiap yang bermula akan berakhir, begitu juga zaman kemasyhuran saya sebagai pelukis dan kartunis, ia mungkin sudah berakhir. Tetapi saya percaya jika sesebuah karya itu hidup, ia akan terus diingati dan menjadi sebutan orang lain,” katanya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg