JOHOR BAHRU: Lebih 50 laporan polis dibuat menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap aktivis dan pereka grafik, Encik Fahmi Reza, yang dilihat bersifat menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan institusi Diraja Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Encik Aznan Tamin, berkata laporan polis sedang dibuat secara meluas di seluruh Johor membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia negeri dan juga daerah, selain pergerakan pemuda Umno di beberapa bahagian.
Selain itu, katanya kira-kira 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok, Semerah dan lain-lain turut tampil membuat laporan polis.
“Saya difahamkan lebih 50 laporan polis termasuk dilakukan oleh ketua-ketua Umno... semua laporan ini dibuat berhubung kenyataan Fahmi Reza yang dilihat bersifat menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan institusi Diraja Johor.
“Saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On turut membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata perbuatan tidak bertanggungjawab individu berkenaan secara jelas mencabar prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurutnya, hantaran sedemikian bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor, malah berpotensi mencetuskan kemarahan, keresahan dan ketegangan dalam masyarakat.
Katanya, jika dibiarkan tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengganggu keharmonian awam, keselamatan serta kestabilan sosial yang selama ini kita pelihara bersama.
“Saya ingin menegaskan bahawa Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak utama perpaduan, kestabilan dan kelangsungan negara.
“Sebarang cubaan merendahkan, mempersenda atau memprovokasi sentimen rakyat terhadap institusi ini adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau berkata laporan polis itu dibuat bagi membolehkan siasatan segera, telus dan menyeluruh diadakan, selain tindakan tegas wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 dan mana-mana undang-undang berkaitan, demi menegakkan kedaulatan undang-undang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg