JOHOR BAHRU: Kajian kebolehlaksanaan bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) – Hubungan Selatan dari Banting, Selangor, ke Gelang Patah, Johor kini giat dijalankan sebagai langkah strategik untuk menyediakan laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara–Selatan yang kerap sesak terutama pada musim perayaan dan hujung minggu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata lebuh raya sepanjang kira-kira 230 kilometer itu bakal menghubungkan empat negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor – melibatkan 11 daerah serta 14 pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagi Johor, daerah yang terlibat termasuk Batu Pahat, Johor Bahru, Muar, Pontian dan Tangkak. Projek ini dijangka menjadi pemangkin penting kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Ogos.
Kajian yang bermula pada Jun lalu dijadual selesai pada Disember 2025, dengan laporan akhir dan model trafik dijangka siap pada 16 Disember 2025.
Sepanjang tempoh kajian, sebanyak tiga sesi perbincangan kumpulan fokus akan diadakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas pihak berkepentingan.
Menurut Encik Mohamad Fazli, lebuh raya itu diunjurkan memberi pelbagai manfaat termasuk mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama, menjimatkan masa perjalanan, serta memperkukuh rangkaian logistik dan pelaburan.
“Menjelang 2030, sebanyak 26 peratus trafik dijangka beralih ke laluan baru ini. WCE Selatan akan menjadi penyelesaian jangka panjang kepada cabaran mobiliti di wilayah selatan tanah air,” tegasnya.
Projek WCE melibatkan Selangor telah selesai, dan akan diteruskan ke Negeri Sembilan dan Melaka.
Terdahulu, pembinaan Lebuhraya WCE Banting-Gelang Patah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2025, pada 2024.
Ia sebagai laluan alternatif buat pengguna Lebuhraya Utara Selatan (Plus) yang kerap berdepan isu kesesakan lalu lintas.
Buat masa ini, Plus menjadi laluan utama di samping laluan lain termasuk jalan persekutuan dan jalan negeri menghubungkan Lembah Klang dengan bandar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg