Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek Lebuhraya Pantai Barat Selatan bawa limpahan pembangunan buat rakyat M’sia

Nov 10, 2024 | 5:30 AM
Pemandangan aliran trafik di Lebuh raya Pesisir Pantai Barat (WCE) berdekatan Plaza Tol Taiping Selatan, Perak. Cadangan lanjutan WCE ke selatan iaitu dari Banting, Selangor, ke Gelang Patah, Johor, dijangka akan perkembangan positif kepada beberapa daerah  terutama daerah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Pemandangan aliran trafik di Lebuh raya Pesisir Pantai Barat (WCE) berdekatan Plaza Tol Taiping Selatan, Perak. Cadangan lanjutan WCE ke selatan iaitu dari Banting, Selangor, ke Gelang Patah, Johor, dijangka akan perkembangan positif kepada beberapa daerah terutama daerah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. - Foto BERNAMA

Cadangan lanjutan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) ke selatan tanah air iaitu dari Banting, Selangor, ke Gelang Patah, Johor, seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2025 menekankan kepentingan projek infrastruktur dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Projek WCE Selatan dijangka membawa pelbagai perkembangan positif kepada beberapa daerah di negeri terbabit terutama daerah di Pantai Barat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bandar di Pantai Barat di sepanjang laluan berkenaan seperti Port Dickson, Masjid Tanah, Bandaraya Melaka, Muar, Batu Pahat dan Pontian akan mendapat banyak manfaat daripada lanjutan lebuhraya WCE Selatan ini.

Antara manfaatnya adalah mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kesalinghubungan.

Buat masa ini, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menjadi laluan utama selain jalan persekutuan dan jalan negeri menghubungkan Lembah Klang dengan bandar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Plus setiap hari semakin sesak, terutama pada hujung minggu, cuti perayaan, cuti umum dan juga cuti sekolah.

Dengan laluan alternatif ini, kesesakan itu dapat dikurangkan dengan WCE Selatan yang akan membawa kepada aliran trafik lebih lancar dan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pengguna.

Projek itu juga akan meningkatkan kesalinghubungan antara bandar di sepanjang Pantai Barat dari Banting hingga ke Gelang Patah.

Ini akan memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan serta meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan pendidikan bagi penduduk di kawasan luar bandar.

Selain itu, ia juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah.

WCE Selatan yang menghubungkan beberapa bandar utama di sepanjang Pantai Barat Semenanjung, akan merangsang aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan, terutama dalam sektor pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana serta perdagangan.

Kewujudan lebuh raya itu akan melengkap laluan ke beberapa projek mega dirancang pihak swasta berhampiran jajaran WCE Selatan ini.

Ia akan mengurangkan tekanan dan kesesakan lalu lintas di jalan persekutuan dan jalan negeri ketika pembinaan projek mega ini.

Projek itu termasuk pelabuhan kontena pintar yang akan dibina di Pasir Panjang, Port Dickson. Projek swasta bernilai RM2 bilion ($600 juta) adalah kerjasama antara Midports Holding Sdn Bhd dengan syarikat kerajaan Negeri Sembilan, Menteri Besar Incorporated (MBI).

Begitu juga Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Sungai Linggi, Melaka, yang bakal menjadi hab perindustrian global hijau untuk sumber tenaga, pelabuhan dan perkhidmatan maritim.

Projek Maharani Energy Gateway (MEG) di Muar pula ialah hab tenaga dan pelabuhan laut dalam meliputi kawasan tiga pulau buatan seluas 1.295 hektar di pesisir pantai di daerah itu dijangka menawarkan 45,000 peluang pekerjaan.

Pemangkin pembangunan wilayah

WCE Selatan itu juga akan menjadi pemangkin pembangunan wilayah kerana ia membuka dan memudahkan akses kepada kawasan bandar serta daerah yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

Dijangka ada pembangunan kawasan perindustrian baru, perumahan dan kemudahan awam akibat kebolehcapaian ke daerah dipertingkatkan kesan daripada kewujudan lebuh raya ini.

Lebuh raya itu juga akan meningkatkan akses ke pelbagai destinasi pelancongan sepanjang pantai barat Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ini akan merangsang aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan, termasuk akses lebih mudah ke tapak budaya dan kawasan rekreasi, boleh memberi manfaat kepada industri hospitaliti tempatan.

Dengan laluan baru itu, kawasan pelancongan di sepanjang Pantai Barat akan menjadi lebih mudah diakses, termasuk destinasi seperti Port Dickson, Melaka dan Muar yang terkenal dengan tarikan sejarah serta pantai yang indah.

Peningkatan akses itu dijangka menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, seterusnya akan merangsang industri pelancongan tempatan.

Selain itu, dengan infrastruktur lebih baik, bandar dan daerah berdekatan akan menjadi destinasi lebih menarik bagi pelabur asing.

Projek ini dijangka menarik pelaburan dalam sektor seperti perkilangan, logistik dan pelancongan, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Secara keseluruhannya, cadangan lanjutan WCE dari Banting ke Gelang Patah yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 adalah langkah strategik akan membawa pelbagai manfaat kepada negara.

Ia bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg