SEPANG: Seorang lelaki berusia 72 tahun adalah bakal jemaah haji pertama dari Malaysia meninggal dunia di Hospital Raja Fadh, di Makkah, akibat pembuluh darahnya pecah pada 24 Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Allahyarham Abnil Hajar Ismail dari Jitra, Kedah, disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada 10.30 malam.
“Kita terima berita dukacita pemergian pertama (bakal) jemaah haji melibatkan lelaki berusia 72 tahun.
“Kematian disebabkan pembuluh darahnya pecah,” katanya selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, ke majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia pada 26 Mei, lapor Astro Awani.
Datuk Mohd Na’im berkata Lembaga Tabung Haji (TH) akan menyediakan perkhidmatan badal haji secara percuma kepada Allahyarham Abnil Hajar dan perkara itu telah dimaklumkan kepada warisnya.
“Saya sendiri telah hubungi waris iaitu anak Allahyarham dan memaklumkannya bahawa TH akan sediakan perkhidmatan badal haji untuk ayahnya,” katanya.
Badal haji ialah pelaksanaan ibadah haji untuk orang yang meninggal dalam keadaan belum haji dan ia juga dapat dilaksanakan bagi orang yang secara fizikal sudah tidak mampu melaksanakannya.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Cik Sadiah Bakar, 72 tahun, yang turut ke Makkah mengiringi suaminya mengerjakan ibadah haji pada 2024, terkejut apabila dimaklumkan oleh TH bahawa pasangannya itu telah meninggal dunia.
Kali terakhir Cik Sadiah berjumpa dengan Allahyarham suaminya ialah di Klinik Maktab (Klinik TH di Makkah) sehari sebelum pemergiannya kerana Allahyarham ada mengadu lenguh-lenguh badan.
“Itulah kali terakhir mak cik bersamanya. Apabila arwah dibawa ke hospital dengan ambulans, mak cik tidak dibenarkan bersama pak cik lagi,” katanya.
Dalam pada itu Datuk Mohd Na’im turut mengingatkan bakal jemaah haji untuk memberi sepenuh perhatian terhadap ibadat haji serta mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata operasi haji dikendalikan TH ketika ini berjalan lancar, dengan 16,000 bakal jemaah haji Malaysia sudah selamat tiba di Madinah dan Makkah sejak penerbangan pertama pada 9 Mei.
Terdapat 100 penerbangan sewa khas dari Malaysia bagi musim haji 1445H/2024 yang telah bermula pada 9 Mei dan penerbangan akhir dijadualkan pada 9 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg