KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bukan beragama Islam yang melakukan kekecohan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, disahkan mengalami masalah mental sejak April 2022 dan tidak menerima rawatan sejak setahun lalu.
Pembimbing Masjid At-Taqwa, Encik Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir, berkata berdasarkan kenyataan media oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Ku Mashariman Ku Mahmood, suspek tidak menerima rawatan sejak Januari 2023 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurutnya, susulan kejadian, pihak polis sudah berjaya mengesan suspek untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Justeru, pihak masjid memohon kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh menimbulkan syak wasangka yang tidak baik.
“Ketika suspek menceroboh, dia bercakap seorang diri dan seperti dalam keadaan tidak normal hingga berlaku sedikit pergelutan ketika jemaah dan anggota polis hendak menahannya.
“Malah, ketika pihak masjid ingin menghalang pergerakan lelaki itu, dia terus membuat kekecohan dan mengganggu jemaah solat subuh selain turut merosakkan sebuah televisyen sebelum meluru ke hadapan saf dewan solat utama,” katanya dalam satu kenyataan media pada 3 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, tular satu video seorang lelaki bukan Islam dilaporkan menceroboh sebuah masjid di TTDI pada awal pagi 2 Januari.
Kejadian yang dipercayai berlaku sebelum solat subuh itu tular dalam satu video sepanjang 2.46 minit menerusi laman media sosial Facebook milik seorang individu.
Lelaki berusia lewat 20-an tahun itu memandu kereta dari kediamannya di Jalan U Thant, di sini, sebelum menuju ke masjid berkenaan.
Keluarganya yang menaiki sebuah lagi kenderaan lain turut mengekori lelaki itu dari belakang.
“Sebaik tiba di pekarangan masjid, lelaki itu terus meluru masuk dan membuat kekecohan ketika semua jemaah sedang bersedia untuk menunaikan solat subuh dan melakukan tindakan yang kurang wajar,” katanya.
Berdasarkan rakaman video yang tular, lelaki itu kemudian ditenangkan oleh individu yang juga anggota jemaah masjid dan ahli keluarganya sebelum membawa dia keluar.
Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di masjid selepas dihubungi oleh anggota jemaah.
Dia kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan sebagai seorang pesakit mental.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg