Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banduan maut di penjara Kelantan sebelum bicara, keluarga tuntut keadilan

Dec 31, 2024 | 11:42 AM
Polis dilaporkan sedang menyiasat kes seorang banduan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, yang meninggal dunia di hospital, didakwa dalam keadaan mencurigakan sebelum tarikh perbicaraan mahkamahnya.
Polis dilaporkan sedang menyiasat kes seorang banduan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, yang meninggal dunia di hospital, didakwa dalam keadaan mencurigakan sebelum tarikh perbicaraan mahkamahnya. - Foto FACEBOOK JABATAN PENJARA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Seorang banduan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, meninggal dunia di hospital, didakwa dalam keadaan mencurigakan sebelum tarikh perbicaraan mahkamahnya.

Keluarganya kini dalam usaha untuk menuntut keadilan atas apa yang berlaku.

Allahyarham Mohamad Rahiefi Mohamad Nor, 32 tahun, telah dipindahkan dari Balai Polis Pasir Puteh ke Penjara Pengkalan Chepa pada 18 November.

Menurut kakaknya, Cik Zealeha Mohamed Nor, keluarganya melawat Allahyarham Rahiefi pada 7 Disember lalu dan mendapati ada kesan lebam pada tubuhnya, hampir tidak mampu bercakap dan berada dalam keadaan separuh sedar.

“Apabila kami bertanya, seorang rakannya mendakwa abang saya telah mencederakan dirinya sendiri.

“Namun, Allahyarham tiada sejarah penyakit mental atau kecenderungan mencederakan diri. Keadaannya sangat membimbangkan,” katanya lapor Malaysiakini.

Keluarga tersebut telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Menurut laporan, pada 11 Disember keluarga itu mendakwa dihubungi pihak penjara yang memaklumkan Allahyarham Rahiefi tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Setibanya di hospital, mereka dimaklumkan Allahyarham Rahiefi mengalami kecederaan serius – termasuk trauma di kepala, lebam, gigi patah serta tanda-tanda seperti kesan terbakar dan sebatan.

Allahyarham Rahiefi kemudian meninggal dunia akibat kecederaan tersebut, dengan anggota keluarganya mendakwa berlaku unsur khianat.

Menurut Cik Zealeha, abangnya seharusnya dilindungi semasa berada dalam tahanan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

“Kami tidak faham bagaimana seorang yang berada dalam tahanan pihak berkuasa boleh mengalami kecederaan sedemikian. Kami mahukan jawapan dan menuntut keadilan untuk abang saya,” katanya.

Seorang jurucakap Jabatan Penjara yang enggan dinamakan memaklumkan kes itu kini sedang disiasat polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg