Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki ditahan pecah rumah di Kedah demi penuhi ragam isteri

Jun 14, 2024 | 12:28 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

KUALA NERANG (Kedah): Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa kegiatan pecah rumah di daerah Padang Terap, Kedah, ditahan di sebuah rumah di Felda Lubuk Merbau pada 31 Mei lalu.

Mangsa berkaitan kejadian itu dikatakan mengalami kerugian kewangan berjumlah RM40,000 ($11,475).

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Timbalan Superintenden (DSP) Mulkiaman Manzar, berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Beliau berkata suspek, yang berasal dari daerah Sik, Kedah, mengaku terlibat dalam 21 kes pecah rumah di daerah itu demi memenuhi hasrat isterinya mahu bercuti serta membayar hutang di bawah skim pembiayaan kredit.

“Suspek bertindak bersendirian, melakukan jenayah di sekitar kawasan Felda Lubuk Merbau dan Naka serta daerah berdekatan, dan dia turut memecah masuk kenderaan di tempat letak kereta dan rumah untuk mencuri barang berharga,” katanya pada sidang media pada 13 Jun, lapor The Star.

DSP Mulkiaman menambah, polis turut menahan isteri suspek yang berusia 30 tahun di rumah mereka pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis menemui pelbagai alat di rumah suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu serta sarung tangan dan sebuah kereta.

“Kes disiasat mengikut seksyen 457, 448 dan 379 Kanun Jenayah. Suspek kini ditahan reman bermula 31 Mei sehingga 14 Jun, manakala isteri dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Jun,” katanya.

DSP Mulkiaman menambah bahawa siasatan juga telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 40-an tahun dan penemuan beberapa barangan yang dipercayai dicuri suspek seperti silinder gas, peralatan elektrik dan telefon bimbit.

Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya direkodkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg