PETALING JAYA: Polis Selangor mengesahkan nombor pendaftaran kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah pecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, adalah palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya kini giat mengesan kesemua suspek terlibat dalam jenayah pada 22 Mei lalu itu.
“Siasatan masih berjalan dan keterangan tujuh individu telah diambil setakat ini,” katanya lapor Kosmo!.
Terdahulu, sekurang-kurangnya empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai di sekitar rumah Ahmad Khuzaimi tular di media sosial menunjukkan pergerakan kereta Toyota Estima yang didakwa digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu.
Untuk rekod, Ahmad Khuzaimi, 30 tahun, yang juga pemain pertahanan, adalah pemain bola sepak Selangor yang kedua diganggu oleh individu tidak dikenali, selepas Faisal Halim yang disimbah asid oleh lelaki yang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor, pada 5 Mei lalu.
Faisal mengalami kecederaan teruk kelecuran tahap empat akibat kejadian simbahan asid itu dan baru dibenarkan keluar daripada hospital selepas tiga minggu mendapatkan rawatan dan menjalani empat pembedahan.
Meneliti video tular di media sosial itu, suspek yang memecah masuk kediaman Ahmad Khuzaimi menggunakan Toyota Estima untuk keluar dari pintu pengawal keselamatan kawasan perumahan berkenaan.
Turut kelihatan, sebuah motosikal jenama Y15ZR berwarna biru yang dipercayai milik Ahmad Khuzaimi yang telah dilarikan oleh seorang lelaki dari pekarangan rumah dan diekori rapat oleh kereta berwarna putih.
Kemudiannya, terdapat rakaman dari sudut dalam rumah memaparkan seorang individu yang tidak dikenali menyelinap masuk melalui pintu rumah pemain berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan rumah Ahmad Khuzaimi dipecah masuk pada ketika beliau sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor di Shah Alam, Selangor, dan kehilangan beberapa dokumen penting, empat beg pelbagai jenama, pasport dan sebuah motosikal.
Menyusuli kejadian itu, Ahmad Khuzaimi mengakui bimbang keselamatan keluarga kerana beberapa dokumen yang hilang menggunakan alamat rumah keluarganya di kampung.
Selain kes membabitkan Ahmad Khuzaimi dan Faisal, sebelum ini seorang lagi pemain kebangsaan yang menyarungi jersi Terengganu FC, Akhyar Rashid, disamun dan diserang di kawasan kediamannya di Terengganu pada 2 Mei, manakala kenderaan milik pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, pula diserang dua lelaki bermotosikal di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, pada 7 Mei.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg