Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki ditahan sedang cuba larikan peti derma surau di Selangor

Apr 22, 2024 | 10:44 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

PETALING JAYA: Orang ramai telah dapat menghalang dan menahan seorang lelaki yang cuba melarikan wang yang didakwa diambilnya daripada peti derma di sebuah surau.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor, dalam satu kenyataan pada 21 April berkata kejadian itu berlaku pada 19 April lalu kira-kira 2.15 petang di sebuah surau di Banting, Selangor.

Pengadu kes itu ternampak seorang lelaki yang kelihatan mencurigakan dan menghampirinya.

“Dia kemudian cuba berlari ke arah belakang surau. Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati suspek membuang wang tunai di tandas di belakang surau.

“Dia ditahan oleh mereka yang berada di surau dan ditangkap bersama wang yang dicuri daripada peti derma itu,” katanya, lapor The Star.

Barangan yang digunakan untuk memecahkan kotak derma itu turut ditemui di dalam beg yang dibawanya.

“Pengadu kemudian menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Siasatan terhadap suspek berusia 43 tahun menunjukkan dia mempunyai rekod 11 kesalahan jenayah dan berkaitan narkotik,” kata Superintenden Ahmad Ridhwan sambil menambah bahawa suspek direman selama tiga hari.

Dalam kes berasingan, seorang guru wanita cedera dipercayai akibat dipukul rakan sekerja di sebuah sekolah rendah di daerah Kemaman, Terengganu, pada 21 April.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata kejadian dikatakan berlaku pada sebelah pagi di kawasan kantin sekolah berkenaan.

Dalam insiden itu, seorang guru lelaki berusia 49 tahun didakwa menumbuk mata kiri dan menyepak mangsa berumur 32 tahun, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang juga seorang guru Bahasa Inggeris mengalami lebam pada mata kiri.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg