JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura berusia 40 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam satu insiden pergaduhan yang tular di media sosial, melibatkan perbuatan menendang sebuah kenderaan di kawasan Taman Tun Aminah, Skudai, pada 7 Jun.
Dalam kejadian kira-kira 2.39 petang pada 7 Jun, suspek dikatakan membunyikan hon beberapa kali terhadap mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, yang sedang memandu kereta kerana mendakwa laluan jalan dihalang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Penolong Pesuruhjaya Balveer Singh Mahindar Singh, berkata suspek kemudian bertindak keluar dari keretanya dan menendang kenderaan mangsa, menyebabkan kerosakan.
Kejadian itu dirakam dan dimuat naik ke Facebook oleh seorang pengguna dengan akaun Cik Vicky Sing, sekali gus tular di media sosial.
“Bertindak atas laporan diterima pada hari sama, polis menahan suspek sekitar 6.20 petang pada 8 Jun di Johor Bahru serta merampas beberapa barang bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Jun.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada 9 Jun untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang,” jelas Encik Balveer Singh.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, beberapa keping gambar dan video kejadian tular di laman sosial yang menunjukkan seorang lelaki berbaju merah kelihatan menendang sebuah kenderaan beberapa kali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg