Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki tiarap atas jalan di Johor akibat murung selepas kehilangan isteri

May 7, 2025 | 12:48 PM
tiarap, jalan raya, batu pahat, johor, murung
Orang ramai membantu polis menahan pemandu lori yang mencetuskan kekecohan di Jalan Parit Bilal, Batu Pahat, Johor pada 30 April lalu. - Foto BH ONLINE

BATU PAHAT (Johor): Tekanan perasaan selepas kehilangan isteri disyaki menjadi punca seorang pemandu lori memberhentikan kenderaan sehingga mencetuskan kekecohan di Jalan Parit Bilal di sini, pada 30 April lalu sebelum tular di media sosial.

Lelaki berusia 40 tahun itu juga dilaporkan mundar-mandir serta meniarap atas jalan sebelum orang ramai menahannya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa, lapor Berita Harian Malaysia.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima laporan orang awam berhubung seorang lelaki dilihat seperti kurang siuman sambil mundar-mandir atas jalan raya pada 1.20 tengah hari.

Beliau berkata berdasarkan atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan dokumentasi mendapati lelaki itu dipercayai mengalami kemurungan.

“Beliau menghadapi situasi itu kerana tekanan perasaan berlarutan akibat kehilangan isteri dan ujian saringan air kencing mendapati beliau negatif bahan terlarang.

“Bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Encik Shahrulanuar berkata lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan perubatan.

Terdahulu, video berdurasi 19 saat tular di media sosial yang menunjukkan orang ramai dengan bantuan polis menahan seorang lelaki yang sebelum itu memberhentikan lori hingga menghalang laluan kenderaan awam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg