PUTRAJAYA: Polis menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terbabit kes seluk saku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA Terminal 1).
Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Azman Shari’at, berkata lelaki berusia lingkungan 50-an tahun yang memegang pas lawatan melebihi tempoh dibenarkan itu kini direman hingga 23 Julai.
Katanya, polis menerima laporan daripada pengadu pada 2.04 pagi pada 21 Julai, memaklumkan kejadian seluk saku berlaku pada kira-kira 9.45 malam 20 Julai.
“Dalam kejadian itu, individu yang ditahan lari apabila dikejar orang awam kerana dipercayai mencuri dompet milik orang awam yang berada di Terminal KLIA 1. Dia berjaya ditahan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, dalam kes berasingan, tindakan seorang lelaki menyimpan sepucuk pistol bersama 18 butir peluru mengundang padah apabila dia ditahan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Timbalan Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada isteri suspek berusia 42 tahun berhubung senjata api itu.
Beliau berkata pengadu dan suaminya sebelum itu berselisih faham sejak empat tahun lalu.
“Susulan laporan, polis menyerbu rumah suspek di daerah ini pada 11 malam Khamis lalu (18 Julai) dan menahan lelaki itu. Pemeriksaan (kami) menemui pistol jenis Styer dan 18 butir peluru hidup,” katanya dalam kenyataan pada malam 21 Julai.
Encik Mohd Asri berkata semasa rakaman percakapan, wanita itu memaklumkan anaknya memberitahu bahawa suspek memiliki pistol yang dilihatnya ketika ingin mengambil duit belanja sekolah di dalam beg.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki pistol itu sejak 2014 dan tidak mempunyai lesen senjata api yang sah.
Dia direman tujuh hari bermula 19 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg