Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kastam M’sia rampas 30kg dadah bernilai RM3.2j di KLIA

Jul 1, 2024 | 2:49 PM
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Cik Norlela Ismail (dua dari kanan), menunjukkan dadah yang disorok dalam bungkusan teh untuk mengaburi pihak berkuasa. Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas dadah seberat 30 kilogram bernilai RM3.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Cik Norlela Ismail (dua dari kanan), menunjukkan dadah yang disorok dalam bungkusan teh untuk mengaburi pihak berkuasa. Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas dadah seberat 30 kilogram bernilai RM3.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah seberat kira-kira 30 kilogram (kg) bernilai RM3.2 juta ($910,000) dalam dua operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) dan Zon Bebas Kargo KLIA, di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Cik Norlela Ismail, berkata dalam operasi pada 16 Jun lalu, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan ketika cuba mendaftar masuk sebuah kotak makanan miliknya di kaunter, kira-kira 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan kotak makanan itu menjumpai 15 mampatan kristal putih disyaki dadah jenis ketamin yang telah diisi di dalam bungkusan teh.

“Bungkusan itu kemudian diletakkan ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera dengan anggaran berat kasar 15.181kg. Mampatan yang disyaki ketamin terbabit dianggarkan bernilai RM760,000,” katanya lapor Astro Awani pada 1 Julai.

Cik Norlela berkata modus operandi memasukkan dadah di dalam bungkusan teh serta diletakkan di dalam kotak makanan digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sindiket juga menggunakan kaedah self check in (daftar masuk sendiri) bagasi untuk mengedar dadah ke lokasi lain,” katanya sambil menambah bahawa lelaki berkenaan dalam perjalanan ke Miri, Sarawak.

Dalam operasi pada 19 Jun pula, Cik Norlela berkata pihaknya menemui satu kotak bungkusan yang diikrar di kawasan Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang sebagai Njoy Caramel Cubes.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan ke atas kotak terbabit, pasukan telah menjumpai 15 termos berlabel Lavender 1,000ml mengandungi pil disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

“Anggaran kasar dadah itu ialah 14.663kg. MDMA yang disita dianggarkan bernilai harga pasaran RM2.5 juta,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kotak bungkusan mengandungi dadah itu adalah dari negara Eropah dan dialamatkan ke sebuah syarikat.

“Kita sedang melakukan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kebiasaannya syarikat yang dialamatkan tidak wujud,” katanya.

Cik Norlela berkata kededua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM turut menahan seorang warga asing kerana cuba membawa keluar mata wang hampir RM700,000 di KLIA Terminal 1 di sini pada 13 Jun lepas.

“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi dibawa pengembara menemukan sejumlah mata wang Ringgit Malaysia pelbagai not berjumlah RM572,563 dan mata wang Dolar Singapura berjumlah $24,500 yang dimuatkan di dalam bagasi miliknya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg