Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lembangan sungai utama di Kelantan diramal banjir mulai 16 Dis

Dec 14, 2024 | 3:43 PM
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan banjir yang diramalkan bermula 16 Disember hingga 19 Disember itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan. Gambar menunjukkan jalan raya di Kampung Pantai Sri Tujoh, Kelantan, yang musnah akibat banjir.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan banjir yang diramalkan bermula 16 Disember hingga 19 Disember itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan. Gambar menunjukkan jalan raya di Kampung Pantai Sri Tujoh, Kelantan, yang musnah akibat banjir. - Foto ST

KOTA BHARU: Lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula 16 Disember hingga 19 Disember, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 14 Disember membabitkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli, dan Gua Musang.

Di Tumpat, kawasan yang dijangka banjir ialah lembangan Sungai Golok (Sungai Pengkalan dan Sungai Mentua), lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka.

Pasir Mas pula membabitkan lembangan Sungai Golok (Sungai Lemal Mati, Sungai Lemal, Sungai Rengas, Sungai Lacang, Sungai Tasik Danau To’Uban, Sungai Tasek Garu, Sungai Lanchang, Sungai Bunut Susu dan Sungai Meranti) dan Lembangan Sungai Kelantan.

Sementara itu, di Kota Bharu, membabitkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Banggol Chicha, Sungai Gutong, Sungai Ketereh, Sungai Che Latif, Sungai Kemasin, Sungai Keseng, Sungai Melor, Sungai Mulong, Sungai Pengkalan Chepa, Sungai Pengkalan Datu, Sungai Raja Gali, Sungai Seribong dan Sungai Tikat).

JPS memaklumkan banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan.

Amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk, terutama di kawasan yang dijangka banjir, mengambil langkah waspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Johor dan Pahang masih kekal setakat pagi 14 Disember, lapor Bernama.

Di Perak, jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana itu kekal dengan 186 individu, melibatkan 57 keluarga di daerah Manjung setakat 8 pagi.

Kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak.

Pada masa yang sama, JPS dalam kenyataan turut memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada tahap amaran iaitu setinggi 165.79 meter berbanding paras normal 165.10 meter.

Selain itu Sungai Plus yang berada dalam daerah Kuala Kangsar dan Sungai Bidor di kawasan Changkat Jong, masing-masing merekodkan bacaan pada tahap berjaga-jaga dengan kedalaman sekitar 54.09 meter (52.0 meter normal) serta 3.21 meter (2.0 meter normal).

MetMalaysia pula meramalkan hujan berterusan dijangka di sekitar kawasan Hulu Perak pada 14 Disember.

Situasi banjir di Johor juga tidak menunjukkan perubahan dengan jumlah mangsa kekal 40 orang daripada 12 keluarga setakat 8 pagi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, memaklumkan kesemua mangsa terjejas akibat bencana itu masih ditempatkan di sebuah PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat.

“Selain itu, hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran, iaitu stesen Sungai Muar di Buloh Kasap, dengan bacaan 8.85 meter,” katanya dalam kenyataan pada 14 Disember.

Beliau berkata keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor dijangka cerah, dan hanya Pontian diramalkan mendung pada pagi yang sama.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir kekal 41 orang daripada 12 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS melibatkan dua daerah terjejas iaitu Bera dan Maran.

Aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan seramai 30 mangsa berada di PPS di Bera iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh dan Balai Raya Kampung Seberang Guai, sementara 11 orang di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg