Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima ditahan disyaki terbabit kegiatan jual beli cuti sakit palsu
Lima ditahan disyaki terbabit kegiatan jual beli cuti sakit palsu
Lima ditahan disyaki terbabit kegiatan jual beli cuti sakit palsu
PEKAN (Pahang): Lima ditahan reman termasuk seorang jururawat bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit kegiatan penjualan dan pembelian sijil cuti sakit palsu.
Perintah reman antara tiga dan empat hari itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun, ke atas semua suspek berusia antara 30 dengan 55 tahun selepas meneliti permohonan dikemukakan polis pada 16 Jun, lapor BH Online.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata semua suspek bertugas di sebuah klinik kesihatan di sini ditahan antara 3 petang dengan 10 malam, 15 Jun
Menurutnya, kegiatan terbongkar selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan mengesan aktiviti penjualan sijil cuti sakit menggunakan dokumen rasmi kerajaan dikeluarkan secara tidak sah di klinik kerajaan di sini pada 12 Mei lalu.
Hasil siasatan dalaman PKD Pekan mendapati sijil cuti sakit itu menggunakan nama, cop dan tandatangan seorang pegawai perubatan.
“Bagaimanapun pegawai perubatan itu sudah bertukar ke hospital di luar daerah Pekan sejak 2023 dan susulan itu agensi berkenaan membuat laporan polis pada 10 jun lalu,” katanya menerusi kenyataan.
Encik Mohd Zaidi berkata dua lelaki dan seorang wanita disyaki bertindak sebagai orang tengah menjual sijil cuti sakit, manakala jururawat wanita berusia 55 tahun dipercayai membekalkan dokumen rasmi kerajaan itu.
Polis turut menahan lelaki berusia 34 tahun yang bekerja di sebuah kilang di sini, kerana disyaki membeli sijil cuti sakit palsu itu.
“Kumpulan terbabit dipercayai menjual sijil cuti sakit palsu itu antara RM50 ($15.80) dan RM200 sekeping,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
