Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan ditahan selepas buang bayi dalam tong sampah di terminal bas KL
Pasangan ditahan selepas buang bayi dalam tong sampah di terminal bas KL
Pasangan ditahan selepas buang bayi dalam tong sampah di terminal bas KL
PETALING JAYA: Satu pasangan kekasih telah diberkas kerana disyaki membuang mayat bayi lelaki yang ditemui dalam tong sampah di terminal bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Encik Lim Chun How, berkata dua suspek, kededuanya penganggur dan berusia 21 tahun, telah ditangkap di Sepang susulan siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Beliau berkata polis menerima maklumat daripada pihak pengurusan TBS pada 9 Jun mengenai penemuan bayi baru lahir yang dibalut dengan beg plastik biru di dalam tandas wanita di tingkat tiga terminal berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat melakukan perbuatan tersebut.
“Suspek wanita itu dipercayai telah melahirkan bayi di dalam tandas sebelum membuang mayat ke dalam tong sampah kerana takut diketahui keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Jun.
Beliau selanjutnya berkata pasangan itu telah direman selama empat hari dari 13 hingga 16 Jun untuk membantu dalam siasatan polis.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara rahsia.
Kes melibatkan bayi dibuang itu adalah yang kedua berlaku di Petaling Jaya dalam masa sekitar seminggu.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa dua wanita tempatan berusia lingkungan 20-an tahun direman bagi membantu siasatan kes pembuangan mayat seorang bayi yang ditemukan di hadapan sebuah pusat perlindungan bayi di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, pada 11 Jun.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Shamsudin Mamat, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi itu kira-kira pukul 8.10 pagi pada 12 Jun.
“Prosedur bedah siasat ke atas bayi tersebut telah dilaksanakan dan doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan keguguran. Bayi tersebut juga disahkan telah meninggal dunia melebihi 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan beberapa barang kes dirampas bagi membantu siasatan. – The Star, Kosmo.
